
Malang memang tidak berbau. Niat sekumpulan remaja untuk berhibur di sebuah taman hiburan di Texas, New Mexico bertukar panik apabila roller coaster yang dinaiki tiba-tiba rosak menyebabkan mereka terperangkap selama dua jam, Sabtu lalu.
Difahamkan kumpulan remaja tersebut terperangkap di dalam dua gerabak roller coaster di kenali sebagai El Bandido di Taman Hiburan Western Playland di Sunland Park yang tiba-tiba terhenti pada ketinggian 18.2 meter.
Jabatan Bomba West Valley Texas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 8.40 malam (waktu tempatan) dan bergegas ke tempat kejadian.
Menurut pegawai bertugas, pihaknya menggunakan tangga jentera bomba untuk membantu menurunkan setiap mangsa ke kawasan selamat dan proses tersebut memakan masa dua jam.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan kami bernasib baik kerana semua mangsa berjaya diselamatkan sebelum hujan dan ribut petir,” kata pasukan bomba tersebut di laman Facebook rasmi mereka.
Seorang daripada remaja yang terperangkap berkata sementara menunggu bantuan tiba, mereka sangat lapar dan terdesak untuk ke tandas.
“Menunggu selama itu buat kami tidak keruan, tapi kami bersyukur dapat turun dengan selamat,” kata seorang mangsa, Angel Cuevas kepada Fox News.
Menurut pemilik taman tema berkenaan, Patrick Thompson, pihaknya telah melakukan pemeriksaan rutin di sebelah pagi, namun punca sebenar kerosakan masih dalam siasatan.
“Pemeriksaan selanjutnya akan dilakukan bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang,” ujar Thompson.
Taman tema seluas 30 hektar itu dibuka pada 2005, namun roller coaster tersebut sudah berada di taman tersebut sejak 1974.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].