
Ketika kebanyakkan orang memilih untuk bersikap negatif serta menyalahkan nasib yang menimpa mereka, pakar motivasi dan penulis Herley Abdul Hamid, mempunyai satu misi. Beliau ingin menginspirasi rakyat Malaysia untuk menjalani hidup dengan penuh makna dan rasa syukur.
Selepas mengalami tekanan di tempat kerja beberapa tahun lalu, Herley memutuskan untuk berehat seketika dan merenung kembali apa yang sebenarnya diinginkan dalam hidup. Akhirnya beliau menyedari bahawa beliau tidak lagi mahu mengejar kekayaan dunia semata-mata, sebaliknya ingin membawa perubahan dalam kehidupan orang lain.
Ayah kepada dua orang anak dan suami kepada seorang guru, Herley mendapat inspirasi setelah melihat apa yang dilalui oleh anaknya Haziq. Remaja 16 tahun itu disahkan menghidap “cerebral palsy” sejak lahir.
“Anak saya Haziq cacat penglihatan dan menghidap cerebral palsy sejak lahir. Beliau tidak boleh berjalan, bercakap dan dikategorikan sebagai “Orang Kurang Upaya”, kata Herley kepada FMT ketika bercerita mengenai keadaan anaknya.
Haziq telah melalui beberapa situasi yang hampir meragut nyawa sepanjang hidupnya. Beberap kali juga doktor seolah berputus asa dengan keadaan Haziq. Biarpun begitu, Haziq tetap meneruskan perjuangannya untuk hidup.
Kekuatan dan keberanian Haziq biarpun dengan kekangan fizikalnya telah memberi inspirasi kepada penerbitan buku pertama Herley yang berjudul “Living with Meaning” (Hidup dengan penuh makna), yang ditulis sendiri oleh Herley dan diterbitkan pada tahun 2016.
Wang yang diterima hasil penjualan buku tersebut didermakan ke Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, organisasi yang memainkan peranan penting dalam pendidikan anaknya itu.
“Dengan hanya berbekalkan deria pendengaran mengakibatkan Haziq menghabiskan sebahagian besar hidupnya terlantar di atas katil. Beliau terpaksa minum melalui tiub yang telah dipasang ke atasnya sejak berumur 12 tahun lagi,” jelas Herley sambil memberitahu sudah beberapa tahun Haziq tidak mengambil makanan pejal.
Kerjayanya sebelum ini memaksa Herley untuk sering ke luar negara dan tidak berada di rumah. Keadaan ini menyebabkan Herley terpaksa menggaji pembantu rumah untuk menjaga Haziq.

Daripada tiga pembantu rumahnya, seorang wanita yang bernama Rukamah adalah individu yang paling meninggalkan kesan kepada Herley sekeluarga. Beliau menceritakan bagaimana Rukamah menjaga dan sentiasa berada di sisi Haziq, terutama ketika kunjungan keluarga mereka ke New Zealand dan Australia.
“Selama lima tahun, Rukamah akan bangun awal untuk memberi makan kepada Haziq pada jam 6 pagi. Dia hanya akan tidur sebaik selesai waktu makan Haziq yang terakhir, menjelang tengah malam. Itu bersamaan dengan 10,000 kali sesi makan berjadual,” jelas Herley.
Buat masa ini, mereka sekeluarga memutuskan untuk menjaga Haziq sendiri tanpa sebarang bantuan, bukan satu keputusan yang mudah.
Selepas pembantu rumah mereka yang terakhir terpaksa kembali ke negara asalnya atas faktor kesihatan, Herley dan isteri memutuskan untuk memanfaatkan sepenuhnya kaedah “kerja dari rumah” sekaligus meluangkan masa untuk menjaga Haziq .
Dengan situasi semasa Covid 19 yang semakin serius di Malaysia pada ketika ini, Herley memutuskan untuk memberikan salinan buku pertamanya kepada orang ramai secara percuma.
Beliau berharap, bukunya itu akan memberi inspirasi kepada mereka yang sedang melalui waktu getir ini dan hampir berputus asa.
Herley turut melampirkan maklumat mengenai Persatuan Kanak-Kanak Spastik dalam buku tersebut dengan harapan untuk mengumpulkan dana sumbangan daripada pembaca bagi membantu anak yang senasib dengan Haziq. Beliau juga percaya buku itu akan menjadi legasi kepada Haziq pada masa akan datang.
“Ini adalah kisah benar mengenai perjalanan hidup anak saya. Ia adalah legasinya bila sudah tidak ada lagi di dunia ini. Beliau tidak boleh ke sekolah atau menjadi saintis yang bakal mengubah dunia tetapi saya harap pengalaman kami ini akan dapat membantu orang lain menghadapi saat getir dalam kehidupan ini,” kongsi Herley.
Kisah Herley dan anaknya Haziq adalah contoh terbaik untuk mengingatkan kita, tidak kira apapun cabaran dan halangan yang mendatang, kita perlu berusaha mencari penyelesaian terbaik dari situasi yang sukar ini.
Sekiranya anda berminat dengan “Living with meaning” dan ingin menyumbang kepada mereka yang senasib dengan Haziq, anda boleh memuat turun bukunya di sini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].