Sithole lahir bayi kembar 10

Sithole lahir bayi kembar 10

Wanita dari Pretoria, Afrika Selatan ini menjadi pemegang Guinness World Record terbaru melahirkan bayi paling ramai di dunia.

Pasangan ini menerima kelahiran bayi secara semulajadi dan mengaku tidak pernah menjalani rawatan kesuburan.

Seorang wanita di Pretoria, Afrika Selatan membuat kejutan dengan kelahiran bayi kembar sepuluh sekali gus menjadikannya sebagai pemegang Guinness World Record terbaru melahirkan bayi paling ramai di dunia.

Gosiame Thamara Sithole, 37, merampas gelaran itu daripada Malian Halima Cissé yang melahirkan bayi kembar sembilan di Maghribi, bulan lalu.

Suaminya, Teboho Tsotetsi berkata, mereka tidak menyangka menerima kelahiran anak paling ramai itu memandangkan imbasan dilakukan doktor sebelum ini hanya menjangkakan kelahiran bayi kembar lapan.

Bagaimanapun, dia lega apabila isterinya selamat melahirkan semua bayi terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga perempuan menerusi pembedahan caesarean.

“Kami mendapat tujuh anak lelaki dan tiga perempuan. Dia melahirkan anak ketika kandungan berusia tujuh bulan dan tujuh hari. Saya amat gembira dan sebak,” katanya.

Sebelum ini, pasangan yang turut mempunyai anak kembar berusia enam tahun itu pernah memberitahu media bahawa kehamilan Sithole berlaku secara semula jadi tanpa sebarang rawatan kesuburan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Sekolah Perubatan Universiti Sains Kesihatan Sefako Makgatho, Professor Dini Mawela berkata, kes kelahiran itu amat jarang berlaku dan lazimnya disebabkan oleh rawatan kesuburan.

Katanya, bayi terbabit terpaksa ditempatkan dalam inkubator selama beberapa bulan memandangkan ia adalah kehamilan yang berisiko tinggi.

“Ini adalah situasi yang agak unik. Saya tidak tahu kekerapan kes seperti ini berlaku. Kehamilan ini amat berisiko tinggi dan situasinya agak rumit. Apa yang membahayakan ialah bayi ini tidak mempunyai ruang yang cukup ketika berada di dalam rahim dan ia boleh menyebabkan saiz mereka menjadi lebih kecil.

“Apa yang berlaku ialah mereka mengeluarkan bayi ini secara pramatang kerana terdapat risiko jika dibiarkan dalam kandungan lebih lama. Bayi menjadi lebih kecil dan peluang untuk hidup juga terjejas. Namun ia bergantung kepada tempoh dia membawa kandungan itu,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.