
Zoo Australia berjaya menyelamatkan seekor anak koala berusia lima bulan yang terjatuh bersama ibunya ketika memanjat pokok di ladang eucalyptus, Australia, baru-baru ini.
Daily Mail melaporkan, berita gembira itu dikongsi menerusi beberapa gambar comel haiwan terbabit ketika dirawat akibat tulang retak pada bahagian tangan.
Malangnya, mereka terpaksa membuat keputusan sukar untuk mematikan ibunya yang mengalami kecederaan parah akibat kejadian itu.
Anak koala yang dinamakan sebagai Joey seberat 500 gram itu menerima rawatan daripada sekumpulan doktor verterinar di Zoo Werribee, Victoria.
Menurut seorang jururawat, Jess Rice berkata, kebiasaannya anak koala bersaiz sekecil itu mempunyai peluang agak tipis untuk hidup selepas ditimpa kejadian berkenaan.
Bagaimana pun, pakar di zoo terbabit enggan mengalah dan terus memberi jagaan rapi terhadap haiwan comel itu dan membalut tangannya selepas imbasan sinar x mendapati tulang anggota badan anak koala tersebut mengalami retak.
Tidak lama selepas itu, Joey mula menunjukkan perkembangan yang baik apabila berupaya memanjat mainannya seperti yang dilakukan terhadap ibunya.
Gelagat anak koala itu menyentuh hati kakitangan di zoo berkenaan sebelum ia dihantar pulang ke habitatnya.
Sementara itu, video haiwan terbabit yang dimuat naik di akaun YouTube Zoos Victoria turut mendapat reaksi pengguna media sosial yang tersentuh melihatnya.
“Terima kasih kerana menyelamatkannya dan haiwan lain,” komen seorang netizen.
Koala disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN) berikutan berlakunya kejadian kebakaran hutan, penerokaan hutan serta penyakit berjangkit.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]