Dipenjara ribuan tahun & ditahan dengan 69,000 pil perancang

Dipenjara ribuan tahun & ditahan dengan 69,000 pil perancang

Ketua kultus dipenjara lebih 1,000 tahun kerana pelbagai kesalahan seksual di Turki.

Perbicaraan Oktar dipenuhi pelbagai keterangan memeranjatkan daripada para saksi. (Gambar AP)
ANKARA:
Seorang ketua kultus, Adnan Oktar, mengaku mempunyai lebih 1,000 kekasih disebabkan ‘limpahan cinta’ dalam hatinya untuk kaum Hawa, malah sentiasa dikelilingi wanita seksi digelar yang digelarnya ‘kittens’ (anak kucing).

Ketika dia ditahan bersama 200 suspek lain pada 2018, polis menemui 69,000 pil perancang yang didakwanya adalah untuk merawat masalah kulit dan haid.

Oktar, 64, dijatuhi dipenjara 1,076 tahun Isnin lalu oleh mahkamah Istanbul bagi pelbagai kesalahan menjijikkan termasuk serangan seks, penderaan seksual dan penculikan kanak-kanak, penipuan dan cubaan melakukan risikan politik serta ketenteraan.

Menurut laporan Telegraph, dua eksekutif dalam organisasi Oktar, Tarkan Yavas dan Oktar Babuna juga masing-masing dipenjara 211 serta 186 tahun.

Perbicaraan Oktar dipenuhi pelbagai keterangan memeranjatkan termasuk seorang saksi wanita mengaku menyertai kultusnya pada usia 17 tahun. Saksi itu turut menceritakan bagaimana wanita sering diperkosa Oktar selain ada antara mereka dipaksa makan pil perancang.

Malah, Daily Mail melaporkan ketika satu perbicaraannya Oktar dipetik berkata, “Hati saya melimpah dengan cinta untuk wanita. Cinta adalah sifat manusia,” katanya.

Susulan penangkapannya pada 2018, pihak berkuasa Turki memusnahkan vila yang diguna sebagai studio untuk A9 sejak empat tahun sebelumnya.

Walaupun kononnya berunsur keagamaan, A9 sering dikecam ulamak di Turki yang berang kerana Oktar sering menampilkan wanita berpakaian seksi.

Oktar pernah menulis buku sepanjang 700 muka surat ‘The Atlas of Creation’ yang dikecam kerana dipenuhi kesilapan saintifik, malah dia juga pernah membuat laman web semata-mata untuk mengkritik rangkaian televisyen kebangsaan Britain, BBC.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.