
Dalam operasi Op Pedo, suspek berusia 20 tahun ada menghasilkan bahan lucah melibatkan dua mangsa kanak-kanak, yang juga sepupunya masing-masing berusia empat dan sembilan tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11), Siti Kamsiah Hassan, berkata suspek ditangkap di Gudang, Johor, atas maklumat hasil kerjasama dengan pihak Google, pada 4 petang 29 April lalu, selain dibantu Unit Malaysia Internet Crime Against Children (Micac), Bahagian D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dan IPK Johor.
Katanya, 5,000 CSAM dan bahan lucah dewasa dalam peranti milik suspek dipercayai dimuat turun dari internet.
“Tangkapan dan rampasan telefon bimbit serta komputer riba dijalankan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mengeksploitasi secara seksual dua kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun yang merupakan sepupu kepadanya dan merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit dalam beberapa kejadian di tiga lokasi berbeza di Kontinjen Selangor, Pahang, dan Kelantan,” katanya kepada Harian Metro.
Kamsiah berkata, tiga lagi kertas siasatan berasingan dibuka bagi menjalankan siasatan di kontinjen berkaitan.
“Bagi kes memiliki CSAM dan bahan lucah, suspek sudah dituduh di Johor pada 22 Mei lalu dan mengaku salah serta sudah membayar denda RM5,000.”
Bagi kesalahan merakam perbuatan bersama kanak-kanak di kediaman keluarga suspek di Sungai Buloh antara 2023 hingga 2025, suspek dituduh hari ini di Klang, katanya.
Beliau berkata, bagi siasatan membabitkan kejadian merakam perbuatan memandikan kanak-kanak di sebuah tandas di ladang itik kebuh sawit di Maran, Pahang pula masih dalam kajian pihak timbalan pendakwa raya.
“Bagi kejadian di Kelantan pula yang berlaku tahun lalu dan tahun ini bertempat di rumah nenek suspek, siasatan juga masih dalam kejadian pihak peguam negara,” katanya.