
Shankar Durairaja dari Kolej Unikop berkata, kebanyakan mangsa lelaki takut melaporkan kejadian gangguan seksual, khususnya di tempat kerja kerana bimbang diejek.
“Masyarakat selalunya tidak mendengar keluhan lelaki dalam kes seperti itu, malah mengejek mereka. Sebab inilah lelaki tidak membuat laporan apabila berdepan gangguan seksual,” katanya kepada FMT.
Katanya, lelaki sendiri sukar menerima mereka mengalami gangguan seksual kerana norma masyarakat menetapkan mereka mesti “kuat dan maskulin”.
“Namun, orang ramai perlu menerima bahawa lelaki, sama seperti wanita, turut berdepan gangguan seksual serupa.”
Bulan lalu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, 351 atau 28.9% daripada 1,213 orang mendapatkan bantuan ketika satu jerayawara antigangguan seksual adalah lelaki.
Shankar percaya bilangan itu cuma sekelompok kecil mangsa.
NGO All Women’s Action Society (Awam) berkata, ia menerima 579 laporan gangguan seksual antara Januari hingga September tahun ini. Pegawai Penerangan dan Komunikasi Awamnya, Shweeta Louis berkata, daripada jumlah itu 77 mangsa adalah lelaki.
“Dalam kebanyakan kes, pelakunya adalah orang dikenali individu berkenaan dan ini termasuk kawan, rakan sekerja, rakan sekelas, ahli keluarga serta kenalan.”
Dalam budaya Malaysia, katanya, gangguan seksual masih dianggap perkara larangan, lebih-lebih lagi melibatkan lelaki.
“Norma sosial kita sangat bersifat patriarkal dan kita mengharapkan lelaki berperwatakan ‘kuat’ dan ‘jantan’.
“Ini mewujudkan pandangan salah bahawa lelaki tidak boleh diganggu secara seksual kerana menampakkan mereka ‘lemah’.”
Women’s Centre for Change (WCC), NGO yang membantu wanita dan kanak-kanak mangsa dera berkata, “kanak-kanak lelaki sangat terdedah kepada penderaan seksual”.
Pengarah programnya, Karen Lai berkata, umum perlu menggalakkan lelaki tampil mengadu atau melaporkan gangguan seksual dan orang ramai perlu melayan mereka dengan hormat, bukannya mengejek atau memalukannya jika berbuat demikian.