Pendekatan berasas komuniti mungkin jawapan kes dera seksual kanak-kanak, kata NGO

Pendekatan berasas komuniti mungkin jawapan kes dera seksual kanak-kanak, kata NGO

Persatuan Kebajikan Suriana berkata, lawatan ke rumah secara berkala boleh membantu mencegah jenayah tidak dapat dilihat itu.

Kebanyakan kes penderaan seksual kanak-kanak berlaku di tempat tinggal mangsa dan pelaku biasanya dikenali atau ada kaitan dengan mereka, kata James Nayagam dari Persatuan Kebajikan Suriana. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis mencadangkan pendekatan berasaskan komuniti untuk memerangi penderaan seksual kanak-kanak susulan laporan mengenai kes termuda melahirkan anak luar nikah.

James Nayagam, pengerusi Persatuan Kebajikan Suriana, berkata program kemasyarakatan yang sama dengan inisiatif dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) dikendalikannya adalah kaedahnya disebabkan keadaan setiap kes penderaan seksual.

Katanya, undang-undang dan inisiatif sedia ada untuk mencegah penderaan seksual kanak-kanak tidak mencukupi kerana kebanyakan kes berlaku di tempat tinggal mangsa dan pelaku biasanya dikenali atau ada kaitan dengan mereka.

“Ia selalunya jenayah ‘halimunan’ kerana berlaku di rumah,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pendedahan sebuah NGO baru-baru ini mengenai seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun menjadi kes termuda melahirkan anak luar nikah di Malaysia.

Sinar Harian memetik Pengerusi Yayasan Ikhlas, Zainur Rashid Zainuddin sebagai berkata, kanak-kanak itu hamil selepas dirogol abangnya yang terpengaruh video pornografi.

Statistik polis menunjukkan 1,348 kes penderaan seksual melibatkan kanak-kanak direkodkan dalam enam bulan pertama 2022.

Nayagam berkata, pendekatan berasaskan komuniti sama dengan projek diusahakannya di rumah pangsa di Desa Mentari mungkin membantu.

Inisiatif ini menyaksikan NGO bekerjasama dengan persatuan penduduk dengan mengadakan lawatan rumah setiap minggu, di mana mereka akan berbual dengan keluarga dan mengambil barang keperluan mereka.

Mereka juga akan mencari petanda, termasuk tanda-tanda keganasan rumah tangga atau seksual dan isu sosial lain, dan jika perlu, membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kami dapati pendekatan ini berkesan. Persatuan penduduk beritahu saya, sebelum program itu diadakan, kedengaran ada yang bergaduh setiap hari, kini ia tidak begitu kerap lagi.”

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim percaya langkah ke hadapan adalah meningkatkan bimbingan ibu bapa, tetapi mengakui ia mencabar kerana kebanyakan pasangan bekerja sepenuh masa.

“Menaikkan gaji minimum atau memberi elaun kepada ibu mempunyai anak kecil supaya mereka boleh kekal di rumah atau pengaturan kerja fleksibel boleh membantu,” katanya kepada FMT.

Katanya, lebih banyak taman, kemudahan sukan dan program belia akan membantu kanak-kanak serta remaja terlibat aktiviti berfaedah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.