
Enam tahun lalu, kita digemparkan dengan dua insiden nahas udara yang melibatkan pesawat dari Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) yang menyayat hati. Bukan hanya di Malaysia, bahkan dunia turut ‘menangisi’ tragedi ini.
Pesawat Malaysia Airlines 370, penerbangan antarabangsa yang membawa kebanyakan pelancong China dari Kuala Lumpur ke Beijing lenyap begitu sahaja di Lautan Hindi.
Belum sempat memikirkan nasib 239 anak kapal dan penumpang MH370, dunia dikejutkan pula dengan insiden tragis pesawat MH17 yang ditembak ketika melalui ruang udara Ukraine.
Kesemua anak kapal dan penumpang seramai 298 orang yang tidak berdosa terbunuh ketika MH17 ditembak jatuh.
Tetapi nahas tersebut bukanlah yang pertama berlaku.
Pada 4 Disember 1977, satu penerbangan domestik yang terbang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur mempunyai sejarah hitam apabila pesawat tersebut telah dirampas oleh individu yang tidak dikenali.
Pesawat malang itu kemudian terhempas dalam sebuah paya di Johor tanpa ada mangsa yang terselamat. Maka, identiti beberapa individu terus menjadi tanda-tanya.
Apa yang diketahui, penerbangan MH653, yang telah memasuki lima tahun perkhidmatan itu sebenarnya telah berlepas dari landasan 22 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 7.21 malam.
Ketika itu, juruterbang Kapten GK Ganjoor dan pembantu juruterbang Kamaruzaman Jalil bertanggungjawab mengemudi pesawat MH653 membawa 93 penumpang dan tujuh anak kapal.
Ganjoor, juruterbang berpengalaman telah melakukan penerbangan selama 15,500 jam, dibantu oleh Kamaruzaman yang ketika itu berusia 25 tahun dengan rekod 1,865 jam penerbangan.
Di antara penumpang di dalam penerbangan tersebut adalah Ali Haji Ahmad; Menteri Pertanian Malaysian, Mahfuz Khalid; ketua Jabatan Kerja Awam, Mario Garcia; duta Cuban ke Malaysia dan dua pegwai Bank Dunia Amerika.
Spekulasi mula timbul apabila ada yang mengatakan rampasan tersebut sudah dirancang kerana terdapat beberapa individu berprofil tinggi di dalam pesawat tersebut.

Penerbangan tersebut dijadualkan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, yang kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, dan telah berhubung dengan menara kawalan udara pada jam 7.47 malam sebelum kejadian.
Sebuah pesawat yang turut berada di landasan sama mengesyaki keganjilan pada pesawat MH653 apabila ia melakukan penerbangan pada ketinggian 1,200m pada jam 7.41 malam.
Pesawat terbabit berjaya menghubungi MH653 dan dijawab tenang oleh Ganjoor mengatakan pesawatnya mahu ‘membuat pendaratan kecemasan’.
Sebelum membuat pendaratan menuju landasan, Ganjoor sempat menghubungi Lapangan Terbang Subang melaporkan kepada menara kawalan bahawa terdapat ‘perampas yang tidak dikenali’ di dalam pesawat.
Menyedari situasi MH653, menara Subang mengarahkan pesawat itu membuat pendaratan kecemasan agar pasukan penyelamat dapat mengepung pesawat terbabit. Namun, sebaliknya MH653 telah ‘didesak’ untuk meneruskan penerbangan ke Singapura.
Penemuan kotak hitam di lokasi nahas kemudiannya mendedahkan gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku di kokpit semasa ia terbang ke arah selatan.
Hasil rakaman mendapati, punca MH653 tidak mendarat di Singapura adalah kerana pesawat kekurangan minyak, malah dikatakan Ganjoor meminta perampas untuk memberi kebenaran mengisi minyak semasa berada di Lapangan Terbang Subang tetapi tidak diendahkan.
Difahamkan, selepas itu terdapat ketegangan antara Ganjoor dan Kamaruzaman dengan perampas sebelum mereka disyaki mati ditembak.
Ada teori mendakwa Ganjoor terdengar bunyi ketukan di pintu kokpit sebelum membenarkan “co-pilot” membuka pintu. Perampas segera masuk dan menjerit memberi arahan supaya juruterbang memutuskan semua rangkaian radio.

Kemudian, tiada lagi suara kedengaran di dalam kokpit dan alat kawalan kapal terbang automatik diputuskan seperti seseorang cuba mengambil alih pesawat.
Namun, usaha itu gagal dan menyebabkan pesawat menjunam secara mendadak sebelum terhempas ke dalam kawasan paya berhampiran Tanjung Kupang, Johor.
Semua komunikasi dengan pesawat itu hilang pada pukul 8.15 malam dan sekitar jam 8.36 malam, penduduk Kampung Ladang, Tanjung Kupang di Johor memberitahu mereka dikejutkan dengan bunyi letupan yang sangat kuat.
Dalam laporan polis yang dibuat, pesawat itu dilihat jatuh ke tanah, pada sudut hampir 90 darjah, sebelum meletup apabila terkena hentaman.
Polis, bomba dan anggota perubatan bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira jam 10 malam, bersama Menteri Besar Johor dan Menteri Dalam Negeri untuk memeriksa lokasi kejadian.
Dengan keadaan pesawat MH653 yang hancur, hasil tinjauan pasukan penyelamat mendapati tiada mangsa yang terselamat. Kawasan tanah lumpur itu dipenuhi serpihan bangkai pesawat.
Namun, apa yang lebih memilukan ialah apabila melihat mayat bergelimpangan dalam keadaan yang cukup tragis. Tiada jenazah yang sempurna dan pasukan penyelamat memerlukan guni untuk mengangkat anggota badan mangsa.
Sisa pesawat MH653 terus terkubur di kawasan tanah lumpur itu, senjata api yang digunakan sehingga ke hari ini masih gagal ditemui.
Jadi, apa yang berlaku pada MH653 pada malam yang menakutkan itu?
Siapakah yang bertanggungjawab di atas kematian 93 penumpang dan tujuh kru pesawat itu? Soalan itu masih belum menemui jawapannya.
Memandangkan tidak ada mangsa yang terselamat, pemakaman dan pengebumian antara agama diadakan di Kebun Teh, dengan upacara terakhir dipimpin oleh imam, bhikkhu dan ketua gereja.
Terdapat spekulasi mengatakan bahawa “Japanese Red Army” yang bertanggungjawab terhadap rampasan tersebut. Namun, spekulasi ini tidak pernah disahkan.
Malah, ada juga desas-desus mengatakan bahawa salah seorang pengawal VIP yang membawa senjata api ke dalam kapal terbang.
Perkara ini tetap dipertikaikan dan tidak berasas namun tidak ada yang bertanggungjawab di atas kejadian itu.
Sebuah memorial peringatan masih dapat dilihat di Kebun Teh sehingga ke hari ini. Nama-nama mangsa terukir pada batu meninggalkan memori yang kekal kepada semua.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]