Syukri mahu masyarakat ambil tahu kesihatan mata

Syukri mahu masyarakat ambil tahu kesihatan mata

Masalah mata bukan hanya tertumpu kepada rabun dan silau sahaja tetapi termasuklah glaucoma (masalah saraf dalam mata), kencing manis mata dan darah tinggi mata.

Pemeriksaan mata menyeluruh yang dilakukan oleh Optometris bertauliah untuk mengetahui tahap kesihatan mata adalah penting dilakukan setiap tahun. (Gambar Muhamad Syukri)
PETALING JAYA:
Pernahkah anak atau anda sendiri mengalami tahap pembelajaran merosot semasa di sekolah secara tiba-tiba tanpa tahu apa puncanya walau ulangkaji sering dilakukan?

Situasi sebegini pernah dialami Muhamad Syukri Bin Mohamad Rafiuddin, sewaktu berusia 9 tahun.

Pelajar yang sering menduduki tempat pertama dan kedua di dalam kelas sejak darjah satu itu tiba-tiba keputusan peperiksaannya menurun ke kedudukan ke-8 hingga memaksa bapanya membawa anak ke-4 dalam keluarga itu untuk menjalani pemeriksaan mata.

“Bapa seorang jurutera, jadi bila menyedari pelajaran saya merosot dia cepat sedar bahawa mungkin mata saya ada masalah.

“Setelah menjalani pemeriksaan, memang benar saya mempunyai masalah rabun, lalu cermin mata dipreskripsi oleh Optometris dan hasilnya apabila masuk darjah empat, keputusan ujian kembali ke angka 1 atau 2,” ujar anak kelahiran Terengganu ini.

Muhamad Syukri Bin Mohamad Rafiuddin, individu terlatih di Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam bidang Elektrofisiologi untuk Penglihatan. (Gambar FMT Ohsem)

Kini, usahawan berusia 34 tahun itu merupakan Pengarah Urusan Kumpulan, Optometrist Senior dan pengasas MATA by Optometrist yang memfokuskan mengenai penjagaan kesihatan mata.

“Masalah mata bukan hanya tertumpu kepada rabun dan silau sahaja tetapi lebih menyeluruh sehinggalah kepada kesihatan mata termasuklah glaucoma (masalah saraf dalam mata), kencing manis mata dan darah tinggi mata.

“Kami cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut dan di sini kami mempunyai mesin Mikroskop Mata (“Slit Lamp Biomicroscope”) dan Kamera Fundus yang selalunya hanya boleh didapati di hospital pakar mata,” ujarnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang Elektrofisiologi untuk Penglihatan yang mana dia merupakan individu terulung yang terlatih di Malaysia.

Minatnya terhadap kesihatan mata bermula dari kecil lagi sehinggalah dia melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda Optometri di Universiti Teknologi MARA dan bergraduasi pada tahun 2010.

Selain boleh membantu mengesan masalah juling dan sistem fokus mata, Optometris juga boleh menentukan punca sakit kepala yang selalu berlaku kepada ramai individu. (Gambar Muhamad Syukri)

Baginya kesihatan mata sangat istimewa dan bidangnya begitu meluas sehingga ada yang di luar jangkauan tanpa sedar banyak yang kita tidak pernah ketahui.

Jelas, Muhamad Syukri ingin masyarakat sedar akan pentingnya penjagaan kesihatan mata yang sering diabaikan. Lalu dedikasi terhadap minatnya itu disalurkan kepada komuniti.

Melangkah ke premisnya, suasana layanan pekerja menyambut pelanggan begitu menenangkan. Bukan hanya mesra pelanggan tetapi mereka turut dilatih secara profesional dalam pemeriksaan mata yang terperinci.

Maka, tidak hairanlah kedai yang baharu dibuka setahun di Puncak Bestari, Puncak Alam itu tidak putus pelanggan bukan hanya dari kawasan sekitar dan Lembah Klang tetapi juga Perlis, Perak, Johor dan Sabah.

Staf terlatih dan mesra memastikan para pelanggan diberikan penerangan yang lengkap dan nasihat diberikan bersesuaian dengan kehendak serta masalah pelanggan. (Gambar Muhamad Syukri)

“Kami bukan setakat menjual cermin mata tetapi lebih tertumpu kepada kesihatan mata terperinci dengan Optometris yang bertauliah.

“Kami melayan setiap pelanggan sama rata, hormat akan permintaan mereka dan memberikan khidmat kesihatan mata terbaik dengan harga yang sangat berpatutan,” tambahnya lagi.

Menurut Muhamad Syukri antara pengalaman berharganya adalah apabila berhadapan dengan seorang pelanggan yang memandu dari Ipoh seawal pagi semata-mata untuk memeriksa mata kedua-dua anaknya berusia 7 dan 9 tahun yang mempunyai masalah rabun.

“Begitu juga dengan seorang pelanggan dari Tawau, Sabah yang lebih selesa membawa ayahnya membuat pemeriksaan mata di sini yang menurutnya pemeriksaan kami begitu terperinci,” jelasnya lagi.

Terapi Penglihatan dan Rehabilitasi dilakukan kepada kanak-kanak serta orang dewasa yang memerlukan bantuan tambahan selain cermin mata. (Gambar Muhamad Syukri)

Menyelami kisah menjalankan perniagaan di sebalik perintah kawalan pergerakan (PKP), Muhamad Syukri yang sebelum ini mempunyai 5 lagi cawangan MATA by Optometrist itu berkata, “Kelima-lima cawangan tersebut telah diambil alih oleh rakan kongsi perniagaan dahulu.

“Namun saya redha kerana setiap perniagaan ada pasang surutnya terutama apabila pandemik melanda,” ujarnya yang kini sedang membuat pengubahsuaian kedai untuk memperbesarkan premisnya bagi membuka sebuah pusat fisioterapi dan kesihatan mata.

“Pusat itu akan dibuka bagi memudahkan orang ramai menjalankan pemeriksaan, terapi dan rehabilitasi mata serta terapi fizikal,” ujarnya yang juga Timbalan Presiden Kebangsaan untuk Persatuan Optometris Malaysia (AMO) dan bekas Exco Majlis Optometri Asia Pasifik (APCO).

Muhamad Syukri yang juga Ahli Jawatankuasa Kesihatan Awam & Ahli Lembaga Pengarah untuk Majlis Optometri Sedunia (WCO) itu turut aktif memberi ceramah bagi aktiviti kesihatan mata dan penjagaannya di sekolah-sekolah serta webinar bersiri.

Program Kesihatan Mata di Sekolah dengan melakukan pemeriksaan mata kepada pelajar yang mempunyai masalah penglihatan dan memberi cermin mata percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan. (Gambar Muhamad Syukri)

Malah, dia turut tidak betah duduk diam bila mana sering mengadakan program kebajikan bersama komuniti setempat.

“Sebelum pandemik, kami sering membuat program bersama sekolah-sekolah, memberi cermin mata percuma kepada pelajar serta komuniti sekitar Kuala Selangor, termasuk juga badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pusat Zakat.

“Bagi saya, masyarakat perlu sedar akan pentingnya penjagaan serta kesihatan mata.

“Kempen-kempen yang dijalankan juga adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan teknologi terkini yang boleh digunakan untuk mengesan masalah mata dengan lebih awal,” akhirinya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesihatan mata, layari laman web MATA byOptometrist atau Facebook dan Instagram mereka. Untuk membuat temujanji, hubungi talian 03-33964200.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.