
Lelaki dikenali Jumadi itu dibantu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menerusi perkongsian rahsia resepi hidangan itu.
Menurut Mustapha, Jumadi hilang punca pendapatan selepas tidak lagi mampu bekerja akibat masalah kesihatan dan telah menjalani pembedahan selepas disahkan menghidap ketumbuhan saraf di kepala kira-kira tiga tahun lalu.
Keadaan itu menyebabkannya hilang pekerjaan sekali gus memberi tamparan besar kepada Jumadi yang perlu menyara isteri serta empat anak kecil masih bersekolah.
Mustapha berkata ketika berbual dengan Jumadi, lelaki itu mengakui tidak mempunyai simpanan kerana pendapatannya sebelum ini hanya cukup untuk menampung keperluan harian keluarga.
Beliau kemudian bertanya kemahiran dimiliki Junaidi yang kemudian memberitahu dia dan isterinya boleh memasak, walaupun tidak begitu yakin dengan resipi yang ada.

Melihat ada ruang untuk Jumadi bangkit semula, Mustapha mencadangkan supaya dia memulakan perniagaan nasi kuning, makanan popular di Sabah yang sering menjadi pilihan untuk sarapan.
Bukan sekadar memberi cadangan, Mustapha turut berkongsi resipi rahsia nasi kuning yang belum pernah diberikan kepada orang lain.
Selepas Jumadi bersetuju, Mustapha membantu menyediakan bahan mentah serta kelengkapan berniaga termasuk periuk nasi besar, kuali, periuk dan peti sejuk beku selain mempromosikan jualan dengan mencetak ratusan risalah untuk diedarkan kepada orang ramai bagi mendapatkan tempahan.
“Siapa sangka, pada hari pertama jualan tempoh hari Jumadi berjaya mendapat pesanan 100 paket. Jumadi dapat jualan RM600-RM800 satu hari, satu angka yang dia tak pernah terbayang akan mampu dapat sebelum ini.
“Dan baru saja semalam, Jumadi menerima pesanan sebanyak 400 paket. Terus dia dapat RM3,200 dalam masa sehari,” kata Mustapha yang turut berkongsi perasaan terharu Junaidi.
Bagi Mustapha, beliau cukup terharu melihat semangat Jumadi mencari rezeki demi melihat anak-anak membesar tanpa perlu mewarisi derita kemiskinan
“Saya gembira dapat menjadi asbab kepada perubahan hidupnya.
“Saya tidak mahu jadi ahli politik yang sekadar datang, serahkan bantuan, ambil gambar dan tunjuk “thumbs up” saja. Ini janji saya kepada rakyat Sepanggar,” katanya.