“Saya masih boleh bersabar” – Uncle Kentang kesal kereta bantuan dirosakkan, tanggung kos membaiki

“Saya masih boleh bersabar” – Uncle Kentang kesal kereta bantuan dirosakkan, tanggung kos membaiki

Uncle Kentang memuat naik imej kereta yang rosak akibat kemalangan itu di laman Facebooknya.

Kereta bantuan yang rosak teruk setelah dipinjamkan kepada seorang individu yang tidak bertanggungjawab. (Gambar Facebook)

Bagai kacang lupakan kulit, perumpamaan yang tepat menjelaskan sifat seseorang yang tidak tahu mengenang budi.

Mungkin itulah yang terbuku di hati aktivis kebajikan dan kemanusiaan, Kuan Chee Heng, 57, apabila mendapati kereta yang diberi sebagai bantuan kepada seorang individu ditemui dalam keadaan rosak.

Apa yang lebih dikesali, kenderaan itu tidak diperolehi secara percuma sebaliknya ia dibeli dengan sejumlah wang yang besar.

Dalam perkongsiannya di Facebook insan yang lebih mesra dengan panggilan Uncle Kentang ini juga terkejut apabila mendapati dia perlu menjelaskan bayaran untuk memperbaiki kenderaan tersebut.

Menerusi hantarannya, Uncle Kentang memuat naik imej kenderaan yang rosak teruk akibat terlibat dalam kemalangan dengan keterangan ringkas.

“Susahlah macam ini. Kita beri kereta, tapi kereta dirosakkan dan kita pula jadi mangsa kena membaikinya. Tapi saya masih boleh bersabar,” tulisnya.

Rata-rata warganet ternyata berang dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan mencadangkan individu tersebut perlu membayar kerosakan itu dan bukan Uncle Kentang.

“Uncle, tolong jangan beri peluang orang ambil kesempatan di atas kebaikan anda, perlu ada hadnya,” kata seorang pengikut.

“Dia yang sepatutnya bertanggungjawab. Kereta dah diberi, jadi tolonglah betulkan. Kemalangan atau tidak, itu tanggungjawab mereka,” kata seorang lagi kesal.

Uncle Kentang yang juga aktivis sosial, baru-baru ini telah menerima Anugerah Komanwel dari Ratu Elizabeth II, selaku Ketua Komanwel, kepada sukarelawan dari 54 negara Komanwel sebagai pengiktirafan terhadap kerja-kerja sukarelawan mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.