
Petaling Jaya: Ramai yang ingin beralih kepada gaya hidup dan pemakanan sihat namun bercakap lebih mudah daripada melakukannya sendiri.
Minuman jus adalah salah satu pilihan yang mudah untuk mereka yang ingin memulakan perjalanan ke arah hidup lebih sihat.
Bagaimanapun, harga mungkin menjadi isu bagi sebahagian besar rakyat Malaysia untuk mendapatkan jus asli yang diperah segar.
Sebaliknya, mereka hanya mampu menikmati jus yang tinggi kandungan gula seperti dijual di kebanyakan pasaraya.
Situasi itu yang cuba ditangani oleh sebuah syarikat baru tempatan, Fit Jouis apabila ia cuba menawarkan pilihan jus segar pada harga berpatutan.
Syarikat itu diterajui oleh Dr Shamini dan Dr Santhira yang bertugas di Hospital Sungai Buloh yang percaya bahawa seseorang harus mendapatkan sumber khasiat secara terus daripada makanan segar.
Menerusi ilmu perubatan yang dimiliki, mereka memanfaatkan pengetahuan itu menerusi penubuhan Fit Jouis bagi membantu rakyat negara ini mengamalkan pemakanan sihat tanpa memerlukan kos yang tinggi.
Bercakap kepada FMT, Santhira berkata, Fit Jouis adalah ‘cold-pressed juice’ yang bertujuan memenuhi keperluan nutrisi setiap orang.
“Kami melihat ramai rakyat Malaysia mengalami penyakit akibat kekurangan nutrisi. Akhirnya, mereka mengambil pelbagai makanan tambahan,” katanya.
Ini membuatkan mereka tertanya-tanya memandangkan Malaysia kaya dengan pelbagai sayuran serta buah-buahan yang boleh dinikmati semua dan masalah kekurangan nutrisi itu mungkin berpunca akibat pengambilan makanan tidak sihat.

Mereka merumuskan bahawa orang ramai lebih gemar memilih makanan yang menjimatkan masa dan penyelesaian terbaik adalah menjadikannya sebagai pilihan lebih sihat.
Santhira membuat perbandingan jelas antara minuman jus segar dengan jus yang dijual di mana-mana pasaraya.
“Saya berani mengatakan bahawa jus yang dijual di pasaraya mempunyai kandungan gula dan berkalori tinggi sekali gus menjadikannya sebagai pilihan tidak sihat.
“Jus yang kami sediakan pula tidak mengandungi gula tambahan atau pewarna tiruan,” katanya.
Fit Jouis mempunyai pelbagai pilihan jus menyihatkan dan lebih penting lagi apabila kedua-dua doktor itu bersedia menawarkan perundingan kesihatan kepada pelanggan mereka.
“Apa yang dilakukan ialah kita meluangkan masa bersama mereka, mendengar apa isu kesihatan dihadapi dan cadangkan produk sesuai. Kita akan mengikuti perkembangan kesihatan mereka selepas itu,” katanya.
Buat masa ini, Fit Jouis mempunyai enam produk di mana setiap satunya mempunyai sasaran untuk memenuhi keperluan nutrisi berbeza bagi setiap pelanggan.
Mereka akan menawarkan lebih banyak pilihan selepas ini memandangkan ramai pelanggan gemar dengan kesegaran dan kualiti produk jus berkenaan.
Santhira berkata, setiap sayuran dan buah-buahan yang digunakan itu dipilih sendiri sebelum jusnya diperah manakala enzim dan nutrien penting juga masih dikekalkan.
“Kita mahu pelanggan menikmati jus segar dan berkualiti daripada Fit Jouis,” kata Santhira.
Lebih menarik apabila anda mampu menikmati manfaat kesihatan ini pada harga berpatutan sebanyak RM8 saja iaitu harga yang sukar ditemui di mana-mana kedai.
“Lebih baik lagi apabila kami menawarkan enam botol jus itu dengan harga RM45,” kata Santhira sambil menjelaskan pelanggan boleh mendapatkan khidmat perundingan mereka secara percuma.
Menurut Santhira, sesiapa saja boleh mendapatkan manfaat nutrisi lengkap daripada jus yang disediakan oleh mereka.
“Sesiapa pun boleh menjaga kesihatan tetapi majoriti pelanggan kami adalah berusia sekitar 18 hingga 34 tahun.
“Kita mahu menembusi semua peringkat usia demi memiliki gaya hidup sihat,” katanya.
Apa perancangan Fit Jouis selepas ini? Bagaimana rakyat Malaysia boleh memberi sokongan terhadap usaha ini dalam meningkatkan tahap kesihatan menerusi diet sihat?
“Sebagai syarikat yang mempunyai misi menerapkan diet sihat di kalangan rakyat Malaysia, apa yang anda perlu lakukan ialah mulalah mengambil serius gaya pemakanan setiap hari.
“Anda boleh meninggalkan mesej di laman Facebook atau Instagram kami untuk membantu anda,” katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Fit Jouis, anda boleh ke laman Facebook kami atau hubungi talian 014-9085702.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]