
Tiada lagi kediaman, tiada lagi negara sendiri. Yang ada hanyalah hidup menumpang di negara lain.
Inilah realiti kejam yang dialami oleh 79.5 juta orang di dunia apabila mereka dipindahkan secara paksa dari tanah air sendiri.
Mereka melarikan diri ke mana-mana negara yang menerima mereka. Mereka juga diberi nama sebagai pelarian!
Malangnya, hampir separuh daripada populasi ini terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai impian lebih besar daripada diri mereka sendiri.
Mereka bukan bermimpi tetapi wujud dalam keadaan ketakutan yang berterusan, tidak pasti sama ada mereka akan hidup untuk melihat hari esok.

Bekas Miss Universe-Malaysia Deborah Priya Henry, 35, merupakan pengasas bersama Fugee School, sebuah sekolah yang menempatkan 200 pelarian dari seluruh dunia dan dia kini sedang mengutip dana agar kesemua anak-anak ini dapat terus bersekolah di situ.
“Sesiapa saja boleh menjadi pelarian,” ujar Deborah yang turut mengatakan bahawa sebahagian besar daripada 33,640 kanak-kanak pelarian di Malaysia adalah buta huruf dan tidak dapat menulis nama mereka sendiri.
Namun, Fugee School telah berusaha keras untuk mengubah kenyataan menyedihkan ini sejak tahun 2009.
Sebagai sekolah pelarian yang disokong oleh UNHCR, Fugee School mendidik anak-anak dari negara-negara bermasalah seperti Somalia, Yemen, Syria, Pakistan, Myanmar, Sudan dan Palestin.
Dengan kekuatan pendidikan yang diberi, Fugee School telah membantu membentuk kehidupan 500 kanak-kanak yang mencari perlindungan di Kuala Lumpur.

Namun, oleh kerana kemelut ekonomi yang timbul sejak pandemik, mata pencarian mereka mula bermasalah.
“Pengumpulan dana dari penderma korporat telah kehabisan dan kami tidak dapat mengadakan apa-apa acara untuk mengumpul dana kerana wabak ini,” kata Deborah.
“Setiap bulan, Fugee School terpaksa mencari wang untuk membayar guru serta sumber pendidikan seperti komputer riba dan buku teks, sewa dan bil-bil lain,” katanya yang menjelaskan bahawa sekolah memerlukan sekitar RM30,000 sebulan untuk terus beroperasi.
Dari 11 orang guru di sekolah itu, separuh daripadanya adalah juga pelarian.
Selain menjalankan Fugee School, ‘pasukan’ Fugee turut memberi sokongan tambahan kepada keluarga-keluarga susah di komuniti mereka.
“Kami telah mengumpulkan dana untuk membayar makanan, ubat, sewa dan perkara-perkara asas bagi meneruskan kelangsungan hidup keluarga ini kerana ramai di kalangan mereka kehilangan pekerjaan,” kata Deborah sambil menambah bahawa pandemik telah menjadi tamparan hebat buat kehidupan mereka.
Pasukan itu juga telah menyara empat keluarga Pakistan dan beberapa minggu sebelumnya, turut membayar bil seorang pelarian yang baru saja melahirkan.

“Masalahnya ialah kita tidak tahu berapa banyak wang yang kita ada minggu depan,” kata Henry mengenai masalah yang dihadapi Fugee School pada masa ini.
Menurutnya, sumbangan bulanan sebanyak RM50 adalah besar ertinya buat mereka.
“Bagi anda, RM50 sebulan boleh membeli kopi dan kek tetapi bagi mereka yang memerlukan, nilai RM50 itu dapat membantu mereka hidup selama sebulan lagi,” ujarnya yang turut menekankan bahawa mereka menerima berapa juga nilai sumbangan tidak kira besar mahupun kecil.
Malah, Henry turut mengalu-alukan sekiranya ada yang ingin menjadi sukarelawan membantu merealisasikan pelbagai program dan aktiviti yang dirancang di situ.
“Pendidikan adalah senjata yang dapat mengubah dunia dan ia adalah hadiah terbaik kepada sesiapa saja.
“Sesetengah kita dikurniakan kehidupan yang lebih baik dan membantu membina semula kehidupan orang lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit adalah satu anugerah istimewa dalam diri kita,” jelasnya.
Anda boleh mengubah kehidupan kanak-kanak pelarian ini dengan memberi sumbangan di sini agar mereka boleh meneruskan pendidikan di Fugee School.
Fugee School
36A, Jalan Jernai 2
Medan Idaman Business Centre
53100 Kuala Lumpur
Malaysia
Tel: 03-4032 2107
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]