
SRC International (Malaysia) Ltd menyaman bank persendirian yang berpangkalan di Zurich itu pada 2021, mendakwa berlaku pelanggaran tugas fidusiari berhubung peranannya dalam skandal tersebut, menurut satu pemfailan di sebuah mahkamah di Hong Kong.
“Proses mediasi sedang berjalan,” kata Pengerusi Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB Johari Ghani kepada Bloomberg pada Khamis sebagai respons kepada pertanyaan.
Baer enggan mengulas apabila ditanya sama ada ia mengambil bahagian dalam rundingan mediasi. Firma itu berpegang kepada kenyataan dalam laporan pendapatan separuh tahun pertamanya bahawa ia sedang mempertahankan tuntutan tersebut ‘sambil mengambil langkah sewajarnya untuk melindungi kepentingannya,’ kata seorang jurucakap.
1MDB kecundang pada 2016, mencetuskan pelbagai saman terhadap bank di seluruh Asia, Eropah dan AS.
Ia pada asalnya ditubuhkan sebagai dana pembangunan untuk membiayai projek infrastruktur besar dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
Sebaliknya, individu yang didakwa sebagai dalang, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan konco-konconya disyaki menggunakan 1MDB sebagai skim untuk membayar rasuah dan mengaut kekayaan untuk diri sendiri.
Pada Ogos lalu, JPMorgan menyelesaikan satu kes yang difailkan di Malaysia dengan bersetuju membayar RM1.4 bilion (USD339 juta) ‘tanpa pengakuan liabiliti’.
Dua bulan kemudian, Mahkamah Tinggi Singapura menghalang percubaan oleh pelikuidasi 1MDB untuk menyaman Standard Chartered Plc dan BSI Bank Ltd berhubung transaksi yang didakwa berkaitan dengan dana itu atas alasan teknikal.
Menurut saman tersebut, SRC memperoleh dua pinjaman daripada dana pencen kawalan negara untuk melabur dalam sumber tenaga demi manfaat rakyat Malaysia.
Firma itu, di bawah pengurusannya, mengarahkan Baer membuat ‘pembayaran palsu’ berjumlah kira-kira USD112.5 juta kepada pihak ketiga.
Baer melaksanakan pembayaran tersebut dari 2013 hingga 2016, walaupun skandal 1MDB telah didedahkan secara meluas di peringkat antarabangsa ketika itu dan terdapat ‘petunjuk amaran’ mengenai pengurusan SRC, menurut saman tersebut.
Sementara itu di Malaysia, satu saman terhadap Deutsche Bank AG bagi menuntut ganti rugi USD1.1 bilion (RM4.55 bilion) dijadualkan untuk perbicaraan pada Januari.
Sumber rapat dengan perkara itu, yang enggan dinamakan, berkata bank Jerman tersebut merancang untuk mempertahankan kes berkenaan. Seorang jurucakap Deutsche Bank enggan mengulas.
Sehingga akhir Julai, kira-kira RM42.2 bilion telah disalurkan untuk membiayai pembayaran hutang dan komitmen lain 1MDB, menurut Kementerian Kewangan.
Kerajaan telah memulangkan RM29.7 bilion dana berkaitan 1MDB dan bekas unitnya SRC International Sdn Bhd sejak penubuhan akaun pemulihan aset itu, kata kementerian tersebut.