13 tahun dipersalahkan atas masalah bola sepak, kata TMJ

13 tahun dipersalahkan atas masalah bola sepak, kata TMJ

Tunku Ismail Sultan Ibrahim kata beliau tidak terganggu dengan dakwaan yang menyalahkan beliau atas keadaan bola sepak negara.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu lihat lebih banyak perniagaan dan ahli perniagaan tempatan tampil untuk menyokong bola sepak negara. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Tunku Mahkota Johor menepis kritikan yang ditujukan kepada beliau berhubung keadaan bola sepak negara, mengatakan ia bukanlah perkara baharu.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim kata beliau tidak terganggu dengan dakwaan yang menyalahkan beliau atas keadaan bola sepak negara.

“Saya telah dipersalahkan atas masalah bola sepak Malaysia selama 13 tahun,” katanya pada sidang media di Hotel Dorsett Grand Subang.

Ditanya sama ada beliau berpendapat semua bantuan dan sokongan yang beliau beri pada bola sepak negara mungkin telah ‘memanjakan’ Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), TMJ menjawab beliau melakukannya atas rasa cinta pada sukan itu, dengan hasrat untuk melihat sukan itu berkembang.

“Suatu hari nanti, saya berharap lebih banyak perniagaan dan ahli perniagaan tempatan akan tampil untuk menyokong bola sepak negara — dari segi pendanaan dan struktur,” katanya.

Terdahulu, Tunku Ismail menggesa FAM mengambil tanggungjawab penuh atas kontroversi berhubung dakwaan dokumen palsu diserahkan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung pemain naturalisasi.

TMJ juga berkata beliau tidak bersetuju dengan penggantungan Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berhubung isu tersebut, mengatakan ramai orang yang terlibat dalam menandatangani pemain naturalisasi terbabit.

Fifa mendenda FAM sebanyak 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) dan menggantung tujuh pemain naturalisasi selama 12 bulan, selepas mendapati dokumen yang diserahkan untuk mengesahkan kelayakan mereka mengandungi maklumat palsu.

Badan bola sepak dunia itu dijangka membuat keputusan mengenai rayuan FAM menjelang 30 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.