Syawal yang tiada erti…

Syawal yang tiada erti…

Penduduk Palestin terus menjadi mangsa kekejaman rejim zionis sejak keganasan terbaru di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu.

Antara beberapa gambar dikongsikan Fedtri bersama penduduk ketika menjejakkan kaki di bumi Palestin sebelum ini.

Ketika umat Islam menyambut kedatangan 1 Syawal hari ini, penduduk Palestin di Semenanjung Gaza terpaksa bermandikan darah akibat dibedil tentera rejim zionis hingga mengorbankan berpuluh nyawa sejak beberapa hari lalu.

Sehingga semalam, angka korban dilaporkan meningkat kepada 33 orang akibat pertempuran antara Israel dan Hamas.

Pertempuran berlaku susulan kebiadapan tentera Israel yang melakukan keganasan di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat lalu.

Kekejaman yang dilakukan itu terus mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia termasuk aktivis dan selebriti yang mengutuk tindakan berkenaan.

Seorang personaliti televisyen, Fedtri Yahya sempat berkongsi pengalamannya di media sosial ketika menyaksikan sendiri kekejaman dilakukan itu di hadapan mata.

Menurutnya, dia pernah melihat seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun diperlakukan dengan kejam apabila ditembak oleh tentera Israel sebaik pulang dari sekolah.

Katanya, kanak-kanak malang itu ditembak kerana menyeluk poket seluar yang disangkakan ingin mengeluarkan bom sedangkan dia hanya ingin mengambil gula-gula.

Fedtri menjelaskan, Israel turut mengawal kemasukan gula-gula ke Palestin dan hanya gred C dibenarkan masuk manakala mereka mengambil produk yang berkualiti.

Perkongsiannya itu sekali gus menimbulkan rasa benci di kalangan netizen yang terus mengutuk rejim zionis tidak berhati perut terbabit.

Ada juga netizen yang menitipkan doa untuk keselamatan semua rakyat Palestin di sana.

Personaliti itu sebelum ini sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa dan kali terakhir dia ke sana ketika melakukan penggambaran Jejak Rasul 2020.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.