
Pada mulanya, Valeriane Michelini dilatih menjadi sebagai seorang penari yang menekankan ciri-ciri kelembutan dan feminin pada diri seorang wanita.
Namun, permintaan tinggi terhadap pelakon aksi lagak ngeri wanita ketika ini menyebabkannya membuat keputusan berani untuk beralih kepada kerjaya itu dengan harapan dapat menembusi industri filem seluruh dunia.
Michelini sedar, kerjaya itu memerlukan satu keberanian yang tinggi kerana dia perlu melakukan pelbagai aksi menggerunkan seperti terjun dari helikopter, melompat dari bangunan tinggi serta melakukan aksi pergaduhan.
Dia kini adalah salah seorang pelajar di Campus Univers Cascade (CUC), Perancis yang dikatakan sebagai sekolah lagak ngeri terbesar dunia dan hampir satu pertiga pelajarnya adalah wanita.
“Saya sudah biasa berada dalam persekitaran yang menekankan ciri-ciri feminin. Kini, ia amat berbeza sekali,” kata wanita berusia 29 tahun itu.
Permintaan terhadap watak adiwira wanita dalam industri filem semakin berkembang terutama sejak kemunculan beberapa platform penstriman seperti Netflix, Amazon Prime dan Disney Plus.
Seorang lagi pelajar, Marine Dolle, 24, pula percaya dia mampu menjadi aset berharga di pasaran pekerjaan itu.
“Setiap aksi direka dengan teliti dan ia amat teknikal sekali,” katanya.
Kebolehpasaran pelajar di situ jelas terbukti apabila ada di antara mereka sudah ditawarkan pekerjaan oleh studio perfileman biarpun belum sempat menamatkan pengajian mereka.
Menurut pelatih parkour sekolah itu, Malik Diouf berkata, ia agak sukar untuk memastikan mereka terus kekal menyumbang kepada industri tempatan kerana bakat pelajar terbabit terlalu ‘laku’ di pasaran luar.
“Pelakon aksi lagak ngeri wanita sebenarnya masih tidak ramai. Sebaik mendapat kemahiran, mereka terus keluar bekerja di luar sama ada dengan rakyat Amerika Syarikat atau Britain,” katanya.
Sebelum ini, pelakon aksi lagak ngeri lelaki terpaksa mengenakan rambut palsu untuk melakukan aksi pelakon wanita.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]