Food4U terus santuni penghuni Chow Kit

Food4U terus santuni penghuni Chow Kit

Sempena Ramadan, Tony Lian dan sukarelawan turun padang mengagihkan makanan berbuka puasa kepada golongan kurang bernasib baik di Chow Kit.

Pada usia 71 tahun, Tony Lian masih gigih membantu mereka yang kurang bernasib baik. (Gambar Muhammad Rabbani)
KUALA LUMPUR:
Keadaan menjadi semakin sukar buat rakyat Malaysia ketika ini lebih-lebih lagi kepada golongan yang kurang bernasib baik termasuk gelandangan.

Di sebalik kemegahan bandar Kuala Lumpur, terselit pelbagai kesusahan yang terpaksa dilalui setiap hari oleh golongan terbabit.

Bagi mereka, sekecil-kecil pemberian makanan dianggap sebagai nikmat besar paling bernilai memandangkan keadaan memaksa mereka untuk hidup bergelut setiap hari demi mengisi perut.

Menyedari perkara itu, seorang pesara berusia 71 tahun, Tony Lian cuba melakukan apa yang terdaya untuk memastikan mereka ini dapat menikmati juadah berbuka puasa seperti umat Islam yang lain.

Usaha itu dilakukan menerusi sebuah pertubuhan kebajikan yang dikendalinya iaitu Food4U.

Kawasan Chow Kit amat dekat di hati Lian yang telah sekian lama membantu golongan kurang bernasib baik di situ. (Gambar Tony Lian)

Ketika ini, dia masih meneruskan pemberian makanan kepada penghuni Chow Kit pada setiap petang Jumaat dengan menyediakan hidangan berbuka puasa untuk mereka.

Aktiviti kebajikan bukan satu perkara asing buat dirinya yang mula mendekati golongan itu sejak 2016 sebelum mengasaskan sendiri Food4U untuk mendekati lebih ramai insan kurang berkemampuan.

Bercakap kepada FMT, Lian berkata Chow Kit adalah lokasi yang amat dekat di hatinya.

“Komuniti di sini amat rapat dengan saya memandangkan saya berada di sini mengedar barangan dapur setiap hari Sabtu.

“Saya mengagihkan beras, minyak masak dan beberapa barangan keperluan lain kepada mereka,” katanya.

Kebanyakan daripada mereka terdiri daripada kategori kumpulan B40 dan ada juga yang hilang pekerjaan serta dipotong gaji.

Anggota Rela ditugaskan untuk membantu pengagihan makanan oleh Food4U supaya ia mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19. (Gambar Tony Lian)

Bagi Lian, dia hanya menjalankan tanggung jawabnya sebagai rakyat Malaysia yang prihatin untuk membantu mereka memerlukan.

“Ini adalah Malaysia yang sebenarnya adalah hanya satu bangsa. Tidak kira siapa yang memerlukan bantuan, kita harus membantu mereka,” katanya.

Usaha yang dilakukannya turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk keluarga, rakan, orang ramai serta syarikat korporat.

Mereka turut menjadi nadi penting yang mengerakkan Food4U bagi membolehkan Lian terus menyalurkan bantuan.

Lian sentiasa membuka pintu untuk memberi peluang pelbagai pihak memberi sumbangan dan ini adalah kali kedua dia mengagihkan makanan berbuka puasa kepada golongan miskin.

Selain makanan, Lian turut mengagihkan barangan keperluan dapur seperti beras. (Gambar Tony Lian)

Sebelum ini, pihak berkuasa pernah mengarahkannya membuka dapur gelandangan di lokasi ditetapkan berbanding melakukan agihan secara biasa.

Namun katanya, kawasan itu hanya mampu memuatkan sekitar 70 orang dan ia agak terhad.

Menurutnya, pandemik Covid-19 juga menyukarkannya untuk melakukan agihan kerana tidak ramai sukarelawan yang datang membantu.

“Disebabkan pandemik Covid-19, tidak ramai sukarelawan yang boleh turun padang datang membantu,” katanya.

Pada masa sama, dia turut bimbang dengan keselamatan sukarelawan yang terbabit sekiranya dijangkiti Covid-19 dan hanya bergerak dalam kumpulan kecil.

“Saya sudah mencapai apa yang ingin dicapai dalam hidup. Ini adalah cara untuk saya menyumbang semula kepada masyarakat menerusi aktiviti kebajikan,” katanya.

Lian percaya setiap rakyat Malaysia harus saling membantu pada setiap masa. (Gambar Muhammad Rabbani)

“Saya sudah memiliki segalanya dalam kehidupan ini. Tiada apa lagi yang diperlukan. Wang bukan segala-galanya dalam dunia,” katanya.

Sebenarnya, sikap murni yang tersemat dalam dirinya itu dipupuk sejak usia muda lagi iaitu ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan St John.

“Ketika di sekolah, kami diajar untuk bersikap prihatin terhadap orang lain. Saya mengamalkannya dalam kehidupan sehingga sekarang. Ia mengajar kita untuk mempunyai belas ihsan sesama manusia,” katanya.

Lian berharap dia dikurniakan dengan kesihatan yang baik bagi membolehkannya meneruskan aktiviti kebajikan itu.

“Saya akan terus melakukannya dan percaya boleh meneruskannya selagi terdaya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Lian menerusi Food4U sama ada menjadi sukarelawan atau menyalurkan sumbangan.

“Mereka boleh membantu dengan cara menjadi sukarelawan, menderma barang keperluan harian, mengenal pasti keluarga yang memerlukan atau menderma wang tunai mengikut keselesaan masing-masing,” katanya.

Anda boleh berbuat demikian dengan menyumbangkan derma kepada Food4U ke akaun (Public Bank 4826007307) atau hubunginya di talian 0178812666 untuk maklumat lanjut.

Food4U
No 4, Jalan P 2/18,
Sekyen 2,
Bandar Teknologi Kajang,
43000 Semenyih,
Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.