Penerbit video jadi pengusaha donat ketika pandemik

Penerbit video jadi pengusaha donat ketika pandemik

Pengasas Halo Doughnuts, Khristabelle semakin dikenali dengan pelbagai perisa unik donatnya.

Khristabelle, Pengasas Halo Doughnuts. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Petaling Jaya: Jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi dan Khristabelle Adelaide Teri sudah bersiap sedia menggoreng donat sourdough di hadapannya.

Dia hanya mengambil beberapa saat saja untuk menggoreng donat itu hingga kelihatan keperangan sebelum meletakkan di atas dulang.

Dia kemudiannya menghulur sebiji donat yang ditabur serbuk kayu manis, buah pelaga dan buah pala dicampur gula dikenali sebagai Cinnamon Affair kepada penulis.

Khristabelle menggoreng donatnya. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Rasanya? Ia cukup gebu dan lebih sedap lagi apabila dimakan dalam keadaan yang masih panas.

Pengasas Halo Doughnuts berusia 33 tahun itu menghasilkan semua donatnya sendiri.

Namun, sebelum ini dia berkecimpung dalam dunia televisyen dan pengiklanan sebagai penerbit video sejak sedekad lalu.

“Dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, saya berhenti kerja,” katanya.

Dalam keadaan bimbang kerana tidak mempunyai pekerjaan, dia cuba mengalih perhatian dengan menghasilkan donat.

Perasa Tita — saduran bunga raya liar bersama daun roselle kering. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

“Sebenarnya pada Januari lalu, teman lelaki mendaftarkan saya mengikuti kelas membuat roti sebagai hadiah hari jadi. Saya mempelajari cara membuat donat.

“Apabila pandemik melanda, saya merasakan ini adalah masa sesuai untuk menghasilkan sendiri apa yang sudah dipelajari dan memuat naik gambarnya di Instagram,” katanya.

Gambar donat yang dimuat naik itu sudah cukup membuatkan pengikutnya di media sosial terliur dan ramai yang membuat permintaan supaya dia menjualnya sebelum menjadi laris.

Menurut Khristabelle, perbezaan antara donat sourdough dan donat biasa ialah berdasarkan resepinya saja iaitu menggunakan ‘starter’ sourdough.

Gabungannya itu akan menghasilkan tekstur lebih lembut berbanding donat biasa.

Anda tidak akan merasai rasa masam pada donat ini sekiranya ada yang risau ia mungkin mempunyai rasa seperti roti sourdough.

Menu di Halo Doughnuts ditukar setiap minggu. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Tidak ada menu yang membosankan di Halo Doughnuts kerana mereka menukar menu pada setiap minggu dengan pelbagai perisa unik seperti Créme Brûlée, Strawberry Cheesecake dan Cookie Monster.

Penukaran menu itu memberi lebih keseronokan kepada Khristabelle untuk menghasilkan pelbagai perisa kepada pelanggannya.

“Setakat ini perisa Burnt & Salty adalah paling laris. Ia adalah donat yang mempunyai saduran mentega dan dihiasi kepingan garam hitam untuk memberi kerangupan,” katanya.

Perisa paling laris di Halo Doughnut, Burnt & Salty. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Pembuat donat itu berkata, dia cuba untuk menghasilkan sebiji donat yang lengkap dengan perisa termasuk tekstur, rasa masin, manis, masam dan mungkin pahit juga.

Setakat ini, dia percaya sudah menghasilkan sehingga 50 perisa dan akan terus mencari idea baru untuk donatnya.

Teman lelaki yang kini rakan perniagaannya, Raphael Mannadiar, mengendalikan bahagian pengeluaran serta kos manakala Khristabelle akan terus mencari idea menghasilkan perisa baru.

“Halo Doughnuts baru saja menyambut ulang tahun pertama bulan ini. Tahun kedua akan fokus untuk mengembangkan perniagaan supaya Khris boleh menumpukan perhatian terhadap apa yang disukainya,” kata Raphael.

Donat Créme Brûlée yang mempunyai inti krim vanilla. (Gambar Ahmad Sadiq Mohamad Sani)

Pasangan itu kini mengendalikan perniagaan mereka dan mengambil tempahan menerusi Cookhouse. Mungkinkah kita akan melihat orang ramai berbaris di kedai Halo Doughnuts?

“Ramai yang memberitahu bahawa kami harus mempunyai kedai fizikal tetapi kita masih memikirkannya disebabkan terdapat norma baru ini. Namun, ia adalah sesuatu yang difikirkan,” kata pasangan itu.

Waktu sudah menunjukkan jam 12.30 tengah hari dan pesanan hari ini sedia untuk dihantar namun Khristabelle masih lagi sibuk di dapur menguji perisa barunya yang akan dikeluarkan tidak lama lagi iaitu, kopi dan chocolate-miso.

Satu gigitan pada donat perisa kopi itu semestinya memberi aroma kopi yang harum dan tidak hairan jika ia akan menjadi produk terlaris selepas ini.

Anda yang minat untuk mencuba donat ini boleh menghubungi mereka menerusi Instagram. Pelanggan boleh mengambil sendiri atau menggunakan khidmat penghantaran daripada Cookhouse pada Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Halo Doughnuts ditutup pada Ahad dan Isnin.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.