Gunting rambut percuma untuk gelandangan

Gunting rambut percuma untuk gelandangan

Joey Lai kini dikenali di sekitar Pasar Seni dan Pudu kerana memberikan perkhidmatan rambut percuma kepada gelandangan.

Kuala Lumpur: Dari jauh, gayanya kelihatan sama dengan penggaya rambut lain. Berbekalkan sebilah gunting dan alat pencukur rambut elektrik, Joey Lai, 30, cuba memberikan gaya rambut paling kemas kepada pelanggannya.

Namun, suasananya bukanlah seperti salun yang biasa kita lihat, sebaliknya perkhidmatan itu diberikan di kawasan jalanan secara percuma memandangkan semua pelanggannya terdiri daripada gelandangan.

Joey memberi khidmat gunting rambut secara percuma di Pasar Seni. (Gambar Cecilia Cletus)

Wanita itu begitu bersungguh untuk membantu golongan terbabit malah berusaha mendekati mereka sambil menawarkan perkhidmatan gunting rambut.

“Ini adalah kali kedua rambut saya digunting oleh Joey. Saya terjumpanya ketika sedang mencari makanan berhampiran Pasar Seni,” kata seorang lelaki.

Menceritakan latar belakangnya, Lai yang lahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur tidak begitu berminat untuk bersekolah dan melakukan pelbagai kerja sejak usia 14 tahun termasuk di pasar malam.

Kemudian, dia mula didedahkan dengan pekerjaan menggunting rambut pada usia 16 tahun.

“Saya tidak dapat mencari pekerjaan lain dan kerja ini nampak lebih menarik. Saya melakukannya sejak hampir sedekad lalu,” katanya.

Peralatan menggunting rambut yang digunakannya. (Gambar Cecilia Cletus)

Menurutnya, dia mula menawarkan khidmat secara percuma sejak tiga bulan lalu menerusi satu pertubuhan kebajikan yang memerlukan kepakarannya.

Bagaimanapun, melihat suasana sebenar di kawasan Pudu benar-benar membuka matanya apabila sejumlah besar golongan itu tinggal di jalanan.

“Sesetengah mereka tidak nampak seperti tidak cukup makan tetapi terpaksa tinggal di jalanan disebabkan terlalu berusia, tidak mempunyai pekerjaan atau diabaikan oleh anak-anak.

“Lalu saya terfikir mengapa tidak menggunakan kemahiran ini untuk membantu mereka,” katanya.

Sejak mula melakukan kerja kebajikan itu, wajahnya semakin dikenali dan sentiasa bersedia untuk menggunting rambut mereka yang memerlukan.

Dia masih ingat, pada hari pertama kedainya beroperasi, terdapat satu barisan panjang orang ramai beratur untuk mendapatkan khidmatnya.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat banyak pertubuhan yang tidak menyediakan perkhidmatan ini. Golongan gelandangan ini juga sedar keadaan diri yang tidak bersih menyebabkan mereka enggan ke kedai gunting.

Joey menggunting rambut gelandangan di Pasar Seni. (Gambar Cecilia Cletus)

“Setakat ini saya sudah menggunting rambut 30 hingga 40 orang. Terdapat seorang gelandangan yang sudah lama tidak menggunting rambut menyebabkan saya mengambil masa empat jam untuk menyiapkannya,” katanya.

Lai yang sememangnya sudah dikenali di sekitar kawasan itu kini menjadi insan dinanti-nanti oleh golongan terbabit.

Ini memandangkan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menggunting rambut di kedai biasa dan bersyukur dengan kehadiran orang sepertinya.

Joey membantu salah seorang pelanggannya sebaik selesai menggunting rambut. (Gambar Cecilia Cletus)

Biarpun cuba membantu, kadangkala dia tidak menafikan ada orang yang mengkritik selain sukar mencari mereka yang benar-benar ikhlas melakukan kerja kebajikan.

“Sebenarnya ramai lagi orang yang memerlukan bantuan. Saya tidak boleh membantu semua, sebaliknya cuba melakukan apa yang terdaya.

“Walaupun mempunyai banyak wang, itu tidak bermakna kita mampu menyelesaikan semua masalah ini,” katanya.

Pada masa sama, dia baru saja selesai menggunting rambut seorang lelaki tua yang ternyata gembira dengan penampilan baru itu.

Lelaki terbabit tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya sekali gus memberi satu semangat baru buatnya.

Wajah gembira seorang pelanggan selepas diberikan gaya rambut yang lebih kemas. (Gambar Cecilia Cletus)

Tidak lama lagi Lai akan dikunjungi dengan lebih ramai lagi orang yang ingin mencukur jambang, menggunting rambut dan mendapatkan penampilan baru.

Walaupun waktu sudah menunjukkan jam 6 petang namun wanita itu langsung tidak kelihatan penat selepas berdiri berjam-jam lamanya.

Malah dia sentiasa melemparkan senyuman setiap kali selesai dan menyambut pelanggan baru pula.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.