Peguam, ibu, kini pengusaha katering untuk pesakit Covid-19

Peguam, ibu, kini pengusaha katering untuk pesakit Covid-19

Navamalar memenuhi selera pesakit Covid-19 serta beramal kepada badan kebajikan dan kakitangan barisan hadapan.

Navamalar menyediakan tempahan makanan untuk dihantar kepada pesakit Covid-19. (Gambar Cecilia Cletus)

Subang: Seorang peguam tidak pernah terfikir untuk menambah jadual padatnya setiap hari dengan perniagaan katering untuk pesakit Covid-19 sehingga dia dan keluarga dijangkiti virus itu pada Oktober lalu.

Sejak akhir Januari, Navamalar menerusi perniagaan katering D’Warren Kitzhen menghantar tempahan makanan kepada pesakit di hospital, pusat kuarantin dan Pesakit di Bawah Siasatan atau Person Under Investigation (PUI).

Katanya, idea itu tercetus selepas dia menyedari sukarnya untuk menempah makanan ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh disebabkan ramai bimbang dijangkiti.

Navamalar dibantu anaknya berusia 14 tahun, Thurges. (Gambar Cecilia Cletus)

“Ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, ibu saya teringin untuk menikmati idli. Saya cuba membuat tempahan daripada beberapa pengusaha supaya menghantar 20 hingga 25 biji kepada kami,” katanya.

Namun, ia amat mengecewakan apabila rata-rata memberitahunya dia harus membuat pesanan minima sekurang-kurangnya 50 biji selain ramai enggan menghantar makanan ke hospital.

Kecewa dengan situasi itu, ibu berusia 39 tahun itu nekad menghabiskan masa di dapur untuk menyediakan makanan sendiri.

Bagaimana pun katanya, memasak sebenarnya adalah minatnya sejak kecil lagi apabila dia selalu memerhatikan nenek dan ibunya menyediakan hidangan enak di dapur.

“Saya memang minat memasak. Ketika masih kanak-kanak, saya selalu melihat nenek dan ibu menyediakan makanan,” katanya yang mula berjinak-jinak dengan hobi itu seawal usia 12 tahun lagi.

Navamalar berkata, perniagaannya bermula apabila dia mula memasak untuk beberapa rakan yang dijangkiti virus berkenaan.

“Pada mulanya, saya hanya memasak apa saja hidangan yang dimahukan oleh beberapa rakan yang dijangkiti dan menghantar kepada mereka.

“Biasanya, pesakit Covid-19 ingin memakan hidangan yang masam dan pedas kerana salah satu simptom dialami ialah hilang deria bau dan rasa.

“Kemudian saya sedar, ramai lagi yang mungkin teringin untuk memakan hidangan dimasak di rumah yang dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Kemahiran memasak wanita itu tidak kurang hebatnya apabila dia menyediakan hidangan rendang ayam, nasi minyak serta kari dal untuk pelanggannya.

Selain itu, sambal ikan bilis dan kari ikan yang dimasaknya turut menjadi kegemaran pelanggan.

Hidangan utama Navamalar, rendang ayam. (Gambar Cecilia Cletus)

Dia bernasib baik apabila dibantu ahli keluarga serta anak lelaki di dapur untuk menyiapkan tempahan pelanggan sebelum menyambung pengajiannya secara online.

“Saya adalah peguam menerusi Tetuan Navamalar & Partners sejak hampir 14 tahun lalu. Kini saya menyambung pengajian Sarjana Undang-Undang menyebabkan jadual begitu padat.

Navamalar menjelaskan, dia memberi kebebasan kepada semua pesakit untuk menempah apa saja makanan diinginkan dengan harga berpatutan.

“Memandangkan saya mempunyai pengalaman sebagai pesakit Covid-19 di hospital, saya tahu caranya bagaimana untuk menghantar makanan kepada mereka,” katanya.

Nasi minyak, rendang ayam, kari dal, raita dan jeli ros yang disediakan Navamalar. (Gambar Cecilia Cletus)

Namun, dia tidak hanya menghantar makanan tetapi juga ubat-ubatan dan barangan runcit kepada pesakit yang terpaksa dikuarantin di rumah selain memasak untuk kakitangan barisan hadapan serta badan kebajikan.

“Saya menghantar makanan kepada kakitangan barisan hadapan dan tempahan persendirian terutamanya pada hujung minggu. Namun bagi pesakit Covid-19 dan pesakit PUI, ia boleh ditempah pada bila-bila masa.

“Baru-baru ini, saya mula memasak untuk badan kebajikan kerana ramai yang memerlukan bantuan makanan tetapi mereka tidak sempat untuk melakukannya sendiri,” katanya.

Kari dal Navamalar yang diminati ramai. (Gambar Cecilia Cletus)

Menjadi seorang ibu, peguam dan mengusahakan perniagaan katering sememangnya bukan satu perkara mudah buat Navamalar namun dia bersyukur kerana dibantu keluarga serta rakan.

“Saya bernasib baik kerana firma undang-undang beroperasi di rumah lalu memberi ruang untuk melakukan beberapa kerja lain.

“Setiap hujung minggu, masa diperuntukkan untuk memasak dan menghantar tempahan. Keluarga adalah tulang belakang saya termasuk anak lelaki membantu di dapur dan membeli barangan runcit,” katanya.

Tambahan terbaru dalam menunya, snek pelangi. (Gambar Cecilia Cletus)

Beberapa rakannya yang mendapat tahu mengenai perniagaan Navamalar, turut memberikan sokongan dengan menghantar periuk besar untuk memasak tempahan pelanggan.

“Tanpa sokongan keluarga dan rakan, tidak mungkin saya boleh melakukannya,” katanya.

Orang ramai yang berminat membuat tempahan boleh menghubungi Navamalar menerusi nombor 011 27572374 atau mesej di D’Warren Kitzhen’s Facebook.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.