
Namun, bapa kepada tiga orang anak ini bersyukur kerana bakat pertukangan yang diwarisi daripada arwah bapanya kini menjadi ‘jambatan rezeki’ baharu buat dirinya.
Sebelum menceburi bidang pertukangan perabot, Hassri bekerja sebagai operator mesin di sebuah kilang di Taman Teknologi Senai (dekat Johor Bahru) selama empat tahun. Dia juga pernah memegang jawatan yang sama dengan sebuah syarikat lain selama 26 tahun.
Di peringkat awal selepas kehilangan mata pencarian, Hassri yang berusia 53 tahun itu mengakui begitu tertekan, namun berkat sokongan keluarga dan sahabat handai, dia mampu bangkit untuk menjadikan bidang pertukangan perabot sebagai sumber menjana pendapatan.
Bermula dengan hanya membuat meja Jepun kecil dan beberapa perabot lain secara suka-suka, akhirnya usaha gigih itu membuahkan hasil apabila ramai rakan dan pencinta kayu berminat dan tertarik dengan hasil pertukangan beliau.
“Memang pada peringkat awal diberhentikan kerja, macam-macam perasaan ada, marah, kecewa sebab kita ada tanggungan, rumah, kereta yang perlu dibayar dengan ada anak yang masih belajar.
“Namun bila saya fikir balik secara rasional, rezeki milik Allah SWT, di mana sahaja ada rezeki asalkan kita berusaha serta bersangka baik atas semua ujian,” katanya yang memulakan perniagaan dari wang pampasan yang diperolehi ketika diberhentikan kerja.
Hassri kini bertekad untuk menjadikan pertukangan kayu sebagai pekerjaan utama selain membuat kerja-kerja pendawaian elektrik, jika ada permintaan.
Dia juga banyak menerima tempahan termasuk membuat set perabot untuk industri inap desa selain mendapat permintaan terutamanya membuat set almari, rak televisyen, meja, kerusi, rak kasut dan kabinet dapur daripada pelbagai pihak.
BELAJAR DARI YOUTUBE
Selain daripada bakat, Hassri turut mempelajari seni pertukangan menerusi laman sosial Youtube dan rakan-rakannya.
“Untuk memastikan perabot yang dihasilkan seiring dengan peredaran zaman, saya menimba kemahiran daripada Youtube di dalam dan luar negara.
“Saya memang tidak pergi mana-mana sekolah kemahiran sejak di bangku sekolah tetapi mungkin bakat arwah bapa saya ‘turun’ pada anak-anaknya dan kemudiannya dengan teknologi masa kini saya belajar sikit-sikit jadi kemahiran itu makin bertambah,” ujarnya.
Bagi melancarkan kerja pertukangan selaras dengan peredaran masa, Hassri menggunakan peralatan yang dibeli sendiri seperti tukul, gergaji, pita pengukur, ketam dan mesin penggerudi.
Untuk kayu pallet bagi pembuatan perabot, dia mendapat bekalan daripada rakannya yang tinggal di Senai.
“Satu produk untuk disiapkan bergantung kepada jenis. Kalau yang mudah seperti meja Jepun, santai dalam dua tiga hari sudah boleh disiapkan.
“Kebiasaannya saya akan mulakan kerja pada pukul 9.30 pagi sampailah pukul 6 petang, bergantung pada keadaan,” katanya, sambil menambah, isterinya, Sharifah Abdullah banyak membantu dalam perniagaan tersebut, yang dijalankan di perkarangan rumah mereka.
HIKMAH KETENANGAN DALAM ‘KEGELAPAN’
Menurut Hassri, meskipun pendapatannya kini tidak tetap dan tidak banyak seperti sewaktu bekerja dulu, namun ketenangan yang dirasai kerana bekerja sendiri adalah sesuatu yang amat indah.
Dia kini boleh menetapkan ‘jadual kerjanya’ sendiri mengikut jumlah dan kuantiti produk yang perlu dihasilkan mengikut permintaan pelanggan berbanding dahulu terikat dengan jadual padat di kilang.
“Pendapatan sebagai tukang kayu memang jauh berbeza daripada pendapatan bekerja makan gaji. Tetapi daripada segi tekanan kerja dan emosi, sekarang saya lagi gembira kerana tidak perlu terkejar-kejar. Lebih santai.
“Walau gaji tak besar, tetapi cukup dan memadai untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah permintaan produk sentiasa ada dan tidak putus,” katanya.
PROMOSI HASIL PRODUK DI INSTAGRAM
Ketika ini, Hassri menggunakan laman sosial peribadinya “hsrr67” sebagai platform untuk mempromosikan produk buatannya.
Dia turut merancang untuk mempamerkan hasil kerjanya menerusi laman sosial lain termasuk menghasilkan katalog pada masa hadapan.
Sambil melahirkan rasa bersyukur atas permintaan yang tidak putus-putus, dia berkata, ‘gerobok baju’ merupakan yang paling banyak ditempah selain rumah untuk haiwan seperti hamster dan kucing.
“Dari bulan Jun 2020 sampai sekarang, lebih 50 jenis perabot pelbagai jenis telah saya hasilkan, pelbagai bentuk dan saiz berbeza mengikut permintaan pelanggan.
Dalam sebulan, paling sikit dua permintaan saya terima tetapi Alhamdulillah pesanan baru sentiasa ada,” ujarnya.
Menurut Hassri, biasanya dia akan minta pelanggan mengambil gambar reka bentuk yang mereka mahukan beserta dengan ukuran untuk lebih mudah dan selamat.
“Banyak yang minta dan mahukan hasil yang telah siap diletakkan dalam katalog agar senang untuk mereka lihat dan pilih. Saya tak berkesempatan lagi tetapi insya-Allah saya sedang usahakannya,” katanya yang turut aktif melakukan kerja pendawaian jika ada permintaan.
Kata Hassri, produk pertukangannya adalah mengikut permintaan pelanggan, oleh itu harga juga mengikut bentuk dan jenis yang diminta. Setakat ini harga kebiasaanya bermula serendah RM200 hinggalah RM1,800.
Mempunyai impian untuk memiliki bengkel pertukangan persendirian suatu hari nanti, Hassri berkata dia akan terus mendalami ilmu pertukangan daripada pelbagai pihak untuk mempelbagaikan lagi jenis produk kayu pada masa akan datang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]