Dari bekas tentera kini tukang alat muzik tradisional

Dari bekas tentera kini tukang alat muzik tradisional

Bekas tentera yang berasal dari Kampung Tanjung Inggeris, Langgar ini berkemahiran menghasilkan gendang Kedah, serunai Kedah dan Kelantan, seruling buluh serta rebana.

Muhammad Shakir, minatnya terhadap alatan muzik tradisional begitu mendalam. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Dia begitu meminati alatan muzik tradisional malah cukup berbakat memainkannya. Maka, kerana itu jugalah Muhammad Shakir Ahmad, 32 menghasilkan sendiri peralatan muzik tradisional sehingga mendapat tempahan daripada penggemar alatan muzik berkenaan.

Bekas tentera, yang berasal dari Kampung Tanjung Inggeris, Langgar ini berkemahiran menghasilkan gendang Kedah, serunai Kedah dan Kelantan, seruling buluh serta rebana.

“Saya bermain alatan muzik tradisional sejak di bangku sekolah lagi. Selepas tamat persekolahan, saya belajar cara untuk membuat alatan muzik dan juga menyertai sebuah kumpulan muzik tradisional serta melakukan persembahan pada majlis-majlis tertentu,” katanya.

Menurut Muhammad Shakir lagi, beliau pernah bertugas di Pangkalan Kem Tentera Udara, Sungai Besi, Kuala Lumpur selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan lebih awal pada 2014 bagi menjaga ibunya yang tinggal berseorangan di kampung.

“Ketika dalam tentera pun saya menyertai sebuah kumpulan dan melakukan persembahan sehinggalah saya menamatkan perkhidmatan. Selepas itu saya ambil keputusan untuk jadi tukang buat peralatan muzik tradisional secara serius,” jelasnya lagi.

Muhammad Shakir berkata kemahiran membuat alatan muzik berkenaan dipelajari daripada ramai tukang berpengalaman di negeri ini dan setiap daripada mereka mempunyai kemahiran serta pengetahuan yang berbeza-beza.

“Bila saya belajar di banyak tempat, setiap guru mempunyai kepakaran tersendiri, contohnya ada guru yang pakar dalam bidang pembuatan alatan kayu dan rotan, ada yang pakar menggunakan kulit dan ada yang mahir dengan bunyi-bunyian serta ukiran.

“Jadi dengan semua kemahiran yang saya pelajari saya praktikkan kepada alatan muzik yang dihasilkan dengan menjadikan alatan itu lebih berkualiti dan menghasilkan bunyi yang lebih baik,” katanya.

Muhammad Shakir sedang menghasilkan alatan muzik di bengkelnya. (Gambar Bernama)

Mengenai alatan muzik tradisional yang dihasilkannya, Muhammad Shakir berkata kebanyakan reka bentuknya masih mengekalkan seni tradisional yang kebiasaannya ada pada alatan muzik tersebut.

Namun, berbanding menggunakan tangan sepenuhnya, beliau lebih banyak menggunakan mesin kayu bagi memastikan alatan muzik itu lebih tepat dan berkualiti serta dapat dihasilkan dengan lebih cepat.

“Selain itu jenis kayu yang digunakan juga mestilah sesuai supaya bunyi yang dihasilkan lebih baik terutama bagi serunai yang memerlukan kombinasi beberapa jenis kayu yang boleh menghasilkan pelbagai bunyi yang berbeza,” katanya.

Beliau yang memiliki sebuah bengkel di sini berkata walaupun ramai yang menganggap alatan muzik tradisional Melayu semakin dilupakan namun tempahan yang diterimanya semakin bertambah bukan sahaja dari negara ini tetapi juga Singapura.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.