Kamu ibu bapa kedua pelajar, Asyraf beritahu warden baharu MRSM

Kamu ibu bapa kedua pelajar, Asyraf beritahu warden baharu MRSM

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki bekas anggota tentera dan polis itu melalui siri tapisan bagi memastikan mereka memenuhi kriteria.

mrsm balik pulau
Warden baharu yang terdiri daripada bekas anggota tentera dan polis yang akan memulakan tugas di MRSM Besut dan Balik Pulau untuk mengekang isu buli dan kes disiplin lain.
PETALING JAYA:
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Asyraf Wajdi Dusuki bertemu dengan kumpulan pertama warden sepenuh masa Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang akan mula bertugas di MRSM Besut dan Balik Pulau pada Isnin depan.

Asyraf berkata ini merupakan inisiatif terbaru MARA untuk memastikan isu buli dan kes disiplin lain dapat dikekang disamping menjamin persekitaran pembelajaran yang selamat.

“Warden yang dipilih ini sudah melalui siri tapisan termasuk temuramah komprehensif untuk memastikan pesara dari kalangan anggota beruniform ini benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh MARA,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, dalam amanat kepada warden, beliau mengingatkan bahawa asrama MRSM ialah rumah kedua pelajar, di mana mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat, tentang mengurus masa, tentang amanah dan tanggungjawab.

“Justeru, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian. Warden ialah pendidik watak ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina dan kasih sayang dibudayakan.

“Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih, dan adil,” katanya.

Pada 20 Julai, Asyraf berkata MARA melantik pegawai tentera dan polis yang telah bersara sebagai warden asrama bagi dua MRSM di bawah inisiatif perintis yang bermula pada bulan ini.

Menurut beliau, tidak lebih daripada 10 warden lelaki dan perempuan dilantik untuk setiap maktab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.