
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Azimah Omar berkata, tiada undang-undang atau ketidakwajaran prosedur di pihak tentera apabila menamatkan perkhidmatan Wan Ramli Wan Seman.
“Kami menolak rayuan itu kerana tiada merit,” kata Azimah yang mengarahkan pihak-pihak menanggung kos masing-masing.
Panel itu turut dianggotai Hakim Wong Kian Kheong dan Ismail Brahim.
Pada 12 Jan 2023, Hakim Ahmad Kamal Shahid menolak permohonan semakan kehakiman Wan Ramli atas alasan sama.
Kamal yang kini hakim Mahkamah Rayuan berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak menafikan hak asasi Wan Ramli.
Hakim berkata, hak untuk mendapatkan pekerjaan tidak mutlak dan majikan berhak mengenakan syarat ke atasnya.
Menurutnya, keputusan terhadap Wan Ramli hasil daripada keengganannya mematuhi perintah vaksinasi, yang disifatkan Kamal “seimbang secara munasabah”.
Wan Ramli, yang pernah bertugas di Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kem Rasah, Negeri Sembilan, memfailkan semakan kehakiman terhadap pemecatannya pada Ogos 2022.
Beliau yang sepatutnya bersara pada 20 Jan 2023, mendakwa kehilangan hak perlembagaannya untuk pencen selepas diberhentikan secara tidak hormat daripada perkhidmatan.
Beliau menamakan pegawai pemerintahnya, dua pegawai lain, TDM dan kerajaan sebagai responden.
Wan Ramli, yang kini bekerja dengan syarikat kurier, mendakwa pemecatannya tidak munasabah kerana tidak diberikan hak untuk didengar selepas permohonannya untuk mahkamah tentera ditolak pegawai atasannya, Lt Kol Sharull Hesham Yasin.
Beliau memohon deklarasi mahkamah bahawa pemecatannya pada Ogos 2022 terbatal, tidak sah serta tiada kesan.
Kerajaan berkata, Wan Ramli didakwa atas empat kesalahan, termasuk mengingkari perintah vaksinasi, menggunakan bahasa ugutan atau melawan pegawai atasan, ingkar perintah tetap dan melanggar ketenteraman serta disiplin perkhidmatan.
Kerajaan turut berhujah, Sharull berhak terus menyelesaikan pertuduhan itu.
Katanya, Wan Ramli tidak dinafikan hak untuk didengar kerana prosiding ringkasan sudah mendengar keterangan enam saksi dan beliau dibenarkan membela diri.