
Tetapi, di sebalik ketinggian, tubuh menarik dan wajah ayunya, ada sesuatu mengenai dia.
Kulitnya seperti kanvas, dicat dengan tompokan putih menyerlah di sebalik kompleksi warna kulit coklat perangnya. Ya, dia mempunyai masalah kulit dikenali sebagai vitiligo.

“Ada yang menyuruh saya mewarnakan seluruh kulit kepada warna putih. Ada juga ibubapa yang menarik anak mereka dari mendekati saya. Kata mereka saya akan menjangkiti anak mereka,” jelasnya mengenai kurangnya pengetahuan orang ramai tentang vitiligo.
“Ada juga yang merasa kesian dengan saya dan mengatakan saya akan sukar mencari calon suami,” jelasnya lagi.
Sememangnya zaman kanak-kanak Sonya begitu menyedihkan. Dia sentiasa bersendirian dan tidak tahu ada ramai orang di luar sana yang mempunyai masalah sama seperti dia.
Malah, Sonya turut bersedih melihat kompleksi warna kulitnya sentiasa berubah sehingga menyebabkan dia kelihatan seperti orang lain setiap tahun. Ini menyebabkan dia selalu dibuli.
Dia turut mendapatkan nasihat dari pakar perubatan moden dan tradisional.
Jemu dengan semua itu, akhirnya apabila usianya meningkat 17 tahun, Sonya telah menyambung pelajarannya di Los Angeles dalam bidang fesyen dan pemasaran perniagaan. Di situlah bermulanya dia belajar mengenai vitiligo.
Segalanya berubah, tiada siapa yang membulinya di sana. Malah, mereka menerima dia dengan senang hati dan ini telah mengembalikan keyakinan dirinya.

Setelah empat tahun di Amerika Syarikat, Sonya kembali ke Malaysia dan bekerja dengan sebuah syarikat fesyen ‘Forever 21’.
Dua tahun kemudian, seorang jurukamera mendekatinya dan menawarkan untuk mengambil gambar Sonya. Mereka kemudian bertukar nombor.
Sebulan kemudian, Sonya dihubungi, pertemuan untuk pengambaran diatur.
“Modelling adalah idaman saya tetapi saya tiada keyakinan untuk melakukannya,” jelas gadis manis ini.
Berbalik dari situlah, segalanya berubah. Sonya diberi kebenaran untuk menyiarkan gambar-gambar ‘photo shoot’ tersebut di laman sosialnya.
“Mulanya saya tidak yakin untuk menyiarkannya kerana bimbang dengan penerima masyarakat. Tetapi kemudian, saya mengubah fikiran. Saya siarkan gambar dengan berkongsi perasaan pada kapsyen di setiap gambar.
“Penerimaannya sangat baik dan saya benar-benar teruja kerana tiada komen negatif dari netizen. Masing-masing memberikan kata-kata semangat dan ada yang berkongsi cerita saya,” cerita Sonya teruja.
Sedar-sedar, Sonya berjalan penuh gaya di ‘runway’ KL Fashion Week 2018 dan selepas itu dia menerima banyak tawaran ‘photo shoot’ dan pelbagai acara ‘modelling’.
Hari ini, Sonya adalah model terkenal di majalah dan syarikat-syarikat produk.

“Saya telah membuat pengambaran dengan Levi’s, Maybelline, Chatime dan mereka semua membenarkan saya berkongsi kisah saya untuk membantu orang lain.
“Ramai di kalangan pengidap vitiligo menghubungi saya membayangkan ketakutan mereka untuk bertemu masyarakat. Sebenarnya saya rasa sedih bila mereka bertanya kepada saya bagaimana ingin membina keyakinan. Keyakinan yang saya bina bukanlah datang dalam sekelip mata tetapi saya membinanya begitu lama dan masih lagi membinanya sehingga ke hari ini,” ujar Sonya.

Sonya kini sedang menyiapkan beberapa projek berkenaan masalah kulit sepertinya dan berharap mesej yang cuba disampaikan akan membantu mereka yang lain.
“Kesihatan mental adalah sesuatu yang sangat penting dan dipandang remeh terutama masyarakat di Malaysia. Amat penting untuk meluahkan perasaan dan jangan biarkan orang lain menghalang anda yang akan membuatkan anda menjadi tidak gembira . Jika perlukan bantuan, carilah samada keluarga atau kawan-kawan,” jelasnya.
Anda boleh melihat hasil kerja Sonya Danita di Instagramnya di sini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]