
Pelajar Tingkatan Lima yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM tahun lalu, masih lagi menanti selepas beberapa kali tertangguh.
Walaupun bilik darjah kini beralih ke dunia maya, kemungkinan besar masih ramai pelajar sukar untuk menghadapi semua yang terjadi.
Dengan tekanan yang semakin meningkat ini, kemungkinan untuk mereka tidak betul-betul bersedia untuk berdepan peperiksaan sebenar juga menakutkan.
Atas kesedaran itu, Janahan Arumugam terdorong untuk mengambil inisiatif membantu. Walaupun pemuda itu memiliki ijazah kejuruteraan, minat sebenarnya adalah dalam bidang matematik.
Meminati subjek matematik sejak di bangku sekolah lagi, tidak hairanlah hasrat untuk untuk berkongsi kemahiran dengan anak muda lain di luar sana menjadi kewajipannya.
Baginya matematik adalah mengenai memahami masalah. Itu antara sebab mengapa Janahan melihat matematik sebagai sesuatu yang cukup mengujakan.
“Walau rumit macam manapun soalan matematik itu, pasti ada jalan keluarnya.
“Begitu juga dengan setiap masalah yang kita hadapi dalam hidup, diakhirnya pasti ada jalan penyelesaian,” tulisnya di laman Facebook.

Ketika bercakap kepada FMT, Janahan menjelaskan, pada mulanya dia bekerja sebagai guru tuisyen secara sambilan semata-mata untuk mencari wang saku tambahan.
Diam tak diam, enam tahun berselang, dia kini berjaya mendidik ribuan pelajar dengan kaedah dan tips terbaik untuk mengatasi masalah matematik yang paling rumit.
Selain itu, Janahan turut menerbitkan buku rujukan matematiknya sendiri untuk pelajar meningkatkan kemahiran mereka dengan angka.
Seperti individu lain, dia tidak terkecuali berdepan banyak perubahan sejak akhir-akhir ini, terutama dengan penularan wabak Covid-19 yang secara drastik mengubah cara pelajar belajar.

Sesuai dengan perkembangan itu, Janahan akan mempengerusikan seminar Matematik pada akhir bulan ini, secara percuma kepada 1,000 pelajar.
Tiada sebarang bayaran dikenakan, malah semua pelajar dari seluruh pelusuk negara dialu-alukan untuk menyertainya.
Walau bagaimanapun, memandangkan ruang yang ada amat terhad, slot ini bergantung kepada siapa cepat dia dapat. Jadi jika anda berhasrat untuk mendaftarkan anak-anak, bertindak segera untuk merebut peluang keemasan ini.
Setiap sesi akan dijalankan selama dua setengah jam bermula dari jam 10 pagi.
Seminar pertama untuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima akan diadakan pada 16 Jan, manakala yang kedua pada 23 Jan.
Terbuka kepada pelajar menengah atas, seminar ini ditujukan khusus buat pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada Februari ini.
Seminar yang dijalankan menerusi platform dalam talian ini antara lain membolehkan pelajar mengakses nota ringkas, melakukan latih tubi intensif dan soalan tahun lalu.
Rebutlah peluang keemasan terakhir ini untuk anak anda membina keyakinan terhadap kemahiran matematik mereka.
Sekiranya berminat, hantar WhatsApp ke 010-2401434 untuk maklumat lanjut dan mendaftar.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]