
Astro Ceria telah melancarkan siri telefilem, Légénda, di mana watak dan jalan ceritanya diinspirasikan dari kisah-kisah legenda zaman dahulukala serta puteri-puteri Nusantara.
Dua telefilem ini iaitu Légénda Puteri Bulan & Légénda Puteri Felora, menerapkan pelbagai elemen moden dalam penceritaan, malah menjadikan tema pemerkasaan wanita antara fokus utama.
Telefilem ini turut mempertaruhkan nama-nama besar dan bakat baharu seperti Rozita Che Wan, Vanidah Imran, Lana Nodin, Dynas Mokthar, Uyaina Arshad, Ruhainies dan Cik B.
Menurut Yasmin Yahya, Penolong Naib Presiden Kandungan GenNext Studios Astro, siri telefilem Légénda ini adalah satu peluang untuk menzahirkan kisah-kisah zaman dahulu kala dan puteri-puteri Nusantara yang disajikan dalam nafas baharu, sesuai untuk santapan seisi keluarga.
“Dengan suntikan komedi dan fantasi, kami mengharapkan siri telefilem Légénda ini sedikit sebanyak dapat mencetuskan minat Gen Alpha (mereka yang lahir selepas tahun 2010) terhadap kisah-kisah legenda Nusantara, sekali gus mengabadikannya dalam sorotan kandungan kami agar ia tidak lapuk dek zaman.
“Menarik lagi, pemerkasaan wanita menjadi salah satu fokus utama naskhah Légénda Puteri Bulan dan Légénda Puteri Felora ini, yang mana ia mengetengahkan protagonis bersifat bijak, baik hati, tidak mudah mengalah dan berjiwa besar,” ujarnya.
Legenda Puteri Bulan
Puteri Zaleha (Uyaina Arshad) dilahirkan istimewa kerana mempunyai darah putih yang mampu menyembuhkan penyakit, lalu beliau menjadi kesayangan semua kerana usahanya untuk membantu rakyat.
Manakala adiknya, Puteri Mariam (Putri Hanan), tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan inginkan perhatian dari kakaknya. Apabila Puteri Zaleha menerima pinangan yang tidak boleh ditolak daripada Raja Achewah, Puteri Mariam memulakan ekspedisi untuk menyelamatkan kakaknya dan juga negaranya, Sukalangka.
Légénda Puteri Bulan diinspirasikan daripada kisah Puteri Lindungan Bulan, dan penggambaran mengambil masa tujuh hari. Antara lokasi yang digunakan sebagai latar telefilem ini ada Perkampungan Budaya, Taman Botani Negara, Shah Alam dan juga di Kem Isi Rimba, Kemensah.
Pengarah, Bob Husaini, menyatakan beliau mengambil filem Ali Baba Bujang Lapok sebagai rujukan bagi telefilem Légénda Puteri Bulan. Selebriti popular, Zizan Razak, Johan As’ari dan Rozita Che Wan turut hadir sebagai watak cameo. Penulis skrip telefilem ini ialah Eenaz Mokhtar, Farah Alya As’ari, Syadhafiza Rosli.
Barisan pelakon adalah Uyaina Arshad sebagai Puteri Zaleha, Putri Hanan sebagai Puteri Mariam, Nabil Aqil sebagai Putera Alauddin, Ropie sebagai Sultan Sukalangka, Bell Ngasri sebagai Laksamana dan Amerul Affendi sebagai Mansur.
Legenda Puteri Felora
Puteri Felora (Ruhainies) ialah puteri tunggal kerajaan Azania yang tidak menurut perintah ibu bapanya. Akibat pilihannya itu, Puteri Felora terperangkap di zaman moden bersama Mangko, arnab kesayangannya (Cik B).
Di dunia masa kini, Puteri Felora diselamatkan oleh Mama (Vanidah Imran) dan keluarganya, namun Puteri Felora perlu segera mencari jalan pulang untuk menyelamatkan Azania dari kemusnahan.
Telefilem Légénda Puteri Felora menampilkan perjalanan antara-dimensi juga mengambil masa 7 hari untuk penggambaran, dan melibatkan tiga lokasi utama – Janda Baik, Port Dickson, dan Ulu Yam.
Telefilem ini juga menggunakan banyak CGI VFX (kesan khas). Malah, pelakon utama, Ruhainies beberapa kali perlu digantung di hadapan skrin hijau bagi memasukkan unsur kesan khas, seperti babak terbang dan kuasa ajaib. Penulis skrip ialah Sofia J Rhyland dan arahan oleh Ben Nambiar.
Barisan pelakon adalah Ruhainies sebagai Puteri Felora, Aiman Tino sebagai Putera Ares, Dini Schatzmann sebagai Putera Flammar, Cik B sebagai Mangko si arnab, Dato’ Fizz Fairuz sebagai Papa, Lana Nodin sebagai Nenek Gora, Vanidah Imran sebagai Mama dan Dynas Mokhtar sebagai Permaisuri Zenab
Saksikan Légénda Puteri Bulan pada 6 Januari ini (Rabu), jam 9 malam di saluran Astro Ceria HD (611) dan Astro Ceria (631). Légénda Puteri Felora pula akan disiarkan pada 13 Januari (Rabu) pada waktu dan saluran sama. Kedua-dua telefilem ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand bagi pelanggan Astro.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]