Isteri pemilik Crackhouse Comedy Club terima ugutan bunuh

Isteri pemilik Crackhouse Comedy Club terima ugutan bunuh

Laporan polis mengenai ugutan bunuh itu dibuat pemilik syarikat Mycomedy Sdn Bhd, semalam.

Polis berkata ugutan diterima mempunyai kaitan dengan kejadian simbahan cat di Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail semalam.
PETALING JAYA:
Polis mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan keluarga pemilik Crackhouse Comedy Club menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata laporan itu dibuat pemilik syarikat Mycomedy Sdn Bhd semalam.

“Polis mengesahkan laporan dibuat, ugutan diterima oleh isteri pemilik kelab berkenaan daripada seorang lelaki tidak dikenali.

“Ugutan yang diterima mempunyai kaitan dengan kejadian simbahan cat di premis terbabit,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Semalam, media melaporkan kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) itu disimbah cat merah dan hitam.

Polis menerima panggilan berhubung insiden berkaitan daripada orang awam pada 7 pagi.

Pada 14 Julai lalu, polis menahan pengasas bersama kelab berkenaan bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang wanita menghina agama Islam dalam satu persembahan komediri di premis itu.

Lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira 1.30 tengah hari di sebuah lokasi di ibu negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.