
Kuala Lumpur: Noorkumalasari bukan nama asing bagi peminat seni tanah air. Pelakon dan penyanyi popular di era 1970-an dan 1980-an ini walaupun sudah tidak lagi aktif dalam dunia hiburan namun, namanya sentiasa menjadi sebutan di bibir peminat.
Bagi mereka yang sentiasa merinduinya, nantikan kisah hidup dan perjalanan lagenda seni ini dalam drama bersiri berjudul Akulah Noor di TV3.
Drama yang akan diterbitkan oleh Zeel Production Sdn Bhd ini masih dalam proses mencari pelakon yang sesuai bagi melakonkan watak Noorkumalasari.
Menurut penerbitnya, Fadzil Teh, pihaknya sudah bertemu dan berbincang dengan Noorkumalasari.
“Alhamdulillah dia bersetuju, jadi sekarang kami dalam proses mencari pelakon yang sesuai. Pencarian bukan setakat dalam kalangan pelakon sedia ada, tetapi dibuka kepada orang biasa. Paling penting individu tersebut mestilah mempunyai ketinggian dan ada iras Kak Noor.
“Insya-Allah, uji bakat akan dijalankan dan Kak Noor juga berbesar hati untuk turut serta,” katanya.
Fadzil berkata, drama itu memaparkan kisah Noorkumalasari bermula sebagai peragawati, terbabit dalam bidang nyanyian, lakonan sehinggalah berkahwin dan juga kisah hidup bermadu.
“Cerita memang sepenuhnya daripada Kak Noor. Dia berkongsi apa yang ramai tidak tahu termasuk kehidupan bermadu. Cuma, apabila diterbitkan ke drama akan ada sedikit elemen ‘drama’ untuk menarik perhatian penonton. Tapi, tidaklah keterlaluan sehingga lari dari cerita asal.
“Kak Noor sangat membantu dan memberikan kerjasama baik untuk penerbitan drama ini. Apabila dia bercerita, sebenarnya banyak kisah yang orang tidak tahu. Sejujurnya, saya dan pasukan sangat teruja untuk penerbitan drama ini,” ujarnya lagi.
Kata Fadzil, beberapa watak penting dalam hidup Noorkumalasari juga akan ditampilkan antaranya Anita Sarawak dan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]