Mengapa tanaman hiasan cepat mati?

Mengapa tanaman hiasan cepat mati?

Semua tanaman samada diletakkan di dalam atau luar rumah, haruslah dijaga dengan baik agar tidak mati.

Setiap tanaman hiasan mempunyai sifat yang berbeza-beza. (Gambar Pixabay Juraj Varga)

Selain diletakkan di luar rumah, tanaman juga sering dijadikan hiasan di dalam rumah. Meletakkan tanaman di dalam kediaman juga berupaya menapis racun pada udara dalam rumah.

Namun begitu, semua tanaman samada diletakkan di dalam atau luar rumah, haruslah dijaga dengan baik agar tidak cepat mati.

Walaupun begitu, ada juga tanaman yang mati walau telah disiram dan mendapat sinar matahari yang mencukupi. Apakah penyebabnya? Mari kita lihat faktornya:

1. Tidak mengetahui apa yang diperlukan oleh tanaman

Sebelum memilih untuk menghias rumah dengan tanaman, perlu diketahui apa yang diperlukan oleh tanaman tersebut.

Contohnya rawatan yang harus diberikan, berapa banyak air yang perlu disiram setiap hari, berapa banyak sinaran matahari yang diperlukan serta suhu yang sesuai untuk tanaman hiasan tersebut.

2. Terlalu banyak menyiram air

Tanaman tidak hanya mati kerana kekurangan air tetapi terlalu banyak air turut menyebabkan ia akan mati.

Ini kerana akarnya akan membusuk, apatah lagi jika di bahagian bawah pasu tidak ada jalan keluar untuk air atau lubang-lubang kecil. Ini akan menjadikan tanaman tersebut mudah mati.

3. Tanaman tidak mendapat sinar matahari yang mencukupi

Selain air, tanaman juga memerlukan sinar matahari yang mencukupi bagi membantunya dalam proses fotosintesis. Namun, jumlah sinar matahari yang diperlukan oleh setiap tanaman adalah berbeza.

Ada tanaman hiasan yang memerlukan banyak sinaran matahari tetapi ada juga yang hanya memerlukan sedikit sinaran matahari.

Kerana itulah kita perlu mengetahui jenis tanaman hiasan yang akan diletakkan di dalam rumah.

Bagi tanaman yang hanya memerlukan sedikit sinar matahari, biasanya boleh diletakkan di dalam bilik tidur. Sebaiknya tanaman yang perlukan lebih banyak sinar matahari, letakkan berdekatan dengan tingkap.

4. Tidak merawat penyakit yang menyerang tanaman

Seperti manusia, tanaman juga sering diserang penyakit. Biasanya penyakit yang menyerang tanaman ini berupa infeksi titik-titik putih atau kuning pada daunnya dan diserang serangga.

Segeralah merawat tanaman tersebut. Jika tidak dirawat maka ia akan mudah mati.

5. Meletakkan tanaman dekat dengan haiwan peliharaan

Sekiranya anda memelihara haiwan peliharaan yang bebas berjalan di dalam rumah, sebaiknya jauhi dari tanaman hiasan anda.

Ini kerana, tanaman mungkin menjadi racun kepada haiwan tersebut dan tanpa sedar haiwan suka menggigit atau memakannya tanpa sengaja.

Kadang-kala haiwan suka merosakkan atau bermain dengan tanaman tersebut.

6. Meletakkan dalam pasu yang kecil

Pasu adalah seperti rumah kepada tanaman hiasan maka, anda haruslah pandai memillih pasu yang sesuai untuk tanaman anda.

Jangan guna pasu yang terlalu kecil kerana akar tanaman akan tumbuh dan menjadi besar. Pasu yang kecil tidak mampu menampung akar yang besar. Ini akan mengakibatkan tanaman cepat mati kerana tidak berupaya untuk tumbuh dengan baik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.