Kebakaran paip gas: NGO tawar khidmat jaga, rawat haiwan

Kebakaran paip gas: NGO tawar khidmat jaga, rawat haiwan

Persatuan Haiwan Malaysia tawar khidmat jaga haiwan peliharaan mangsa selama seminggu, manakala Persatuan Haiwan Terbiar akan merawat haiwan peliharaan dan terbiar.

Seekor kucing yang terselamat dalam kebakaran saluran paip gas semalam berada di PPS Masjid Putra Heights hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Persatuan Haiwan Malaysia menawarkan perkhidmatan menjaga haiwan peliharaan mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights secara percuma selama seminggu.

Menurutnya, perkhidmatan bermula hari ini hingga 8 April ini membabitkan kucing, arnab, burung, hamster, landak dan musang peliharaan yang akan ditempatkan di tempat perlindungan Galeri Animal Malaysia.

“Haiwan milik mangsa akan dijaga dan diurus selama tempoh berada di tempat perlindungan haiwan dengan makan minum serta keperluan sewajarnya,” katanya dalam catatan Facebook.

“Khidmat pengambilan dan penghantaran semula turut disediakan secara percuma dengan jadual pengambilan akan dikemas kini secara berkala oleh pengurusan tempat perlindungan.”

NGO itu berkata, mangsa kebakaran yang memerlukan perkhidmatan percuma itu boleh menghubunginya melalui WhatsApp 011-71245931.

Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar (SAFM) dengan kerjasama beberapa klinik haiwan menggerakkan sukarelawannya bagi menyelamatkan haiwan peliharaan dan haiwan liar yang terjejas akibat kebakaran semalam.

Presidennya, R Kalaivanan, berkata ia termasuk rawatan kecemasan percuma bagi haiwan melecur atau cedera akibat asap tebal, selain memberi makanan percuma kepada haiwan peliharaan dan terbiar yang kehilangan tempat tinggal atau penjaganya.

“Kami mengenal pasti empat klinik veterinar berhampiran lokasi kejadian bagi memudahkan rawatan dan penyaluran bantuan. Semua klinik ini terletak di Subang Jaya.

“Pihak klinik hanya akan bertanya maklumat penting seperti lokasi kejadian bagi memudahkan rawatan dan dalam kes kecemasan, data terperinci mungkin sukar diperoleh, namun doktor veterinar akan menilai tahap kecederaan haiwan,” katanya ketika ditemu bual Bernama Radio.

Beliau berkata, misi bantuan bermula hari ini akan diteruskan, bergantung kepada keperluan semasa.

SAFM menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan dalam bentuk makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain bagi membantu haiwan terjejas.

Pihak ingin mendapatkan maklumat lanjut atau menyalurkan sumbangan boleh menghubungi SAFM melalui Animal.org.my atau WhatsApp 013-7066 770.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.