
Ramai yang fikir memancing merupakan satu aktiviti yang tidak berfaedah. Manakan tidak, alatan memancing sahaja boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit, manakala aktivitinya cuma duduk sahaja dan tunggu sehingga umpan dimakan ikan.
Nampak macam membazir masa bukan!
Sebenarnya, aktiviti memancing mempunyai banyak rahsia yang anda mungkin tidak tahu. Malah, seperti hobi yang lain, memancing merupakan aktiviti yang sihat untuk fizikal dan mental seseorang.
Memancing bukan hanya mampu merendahkan tahap stres seseorang, malah ia juga boleh membantu menjadikan anda lebih cergas.
Tak percaya? Jom baca artikel kami di bawah.
1. Jadikan anda lebih cergas
Bukan mudah untuk mendaratkan seekor ikan yang bersaiz besar. Seorang lelaki perlu merangsang kekuatan pada bahagian lengan, bahu, belakang dan juga kaki untuk menarik seekor ikan ke darat.
Bukan itu sahaja, kadang-kadang, tempat memancing yang menjadi “port” juga jauh daripada kawasan awam. Peminat aktiviti memancing perlu mendaki sedikit atau berjalan 10 hingga 15 minit sebelum tiba ke destinasi yang dituju.
Apatah lagi, khemah dan peralatan memancing juga perlu dipasang dan semua aktiviti ini juga perlukan tenaga. Jadi, siapa kata aktiviti memancing ini hanya duduk dan tunggu sahaja?
2. Beri vitamin D
Vitamin D banyak terkandung dalam sinaran matahari. Oleh itu, individu yang sukakan aktiviti yang dilakukan di luar rumah pasti dapat menerima vitamin D yang cukup untuk badan.
Antara fungsi vitamin D adalah untuk membantu penyerapan kalsium dan juga “phosphorus” dalam badan. Vitamin D juga membantu sistem imun berfungsi dalam kadar yang normal.
Jika anda tidak mendapat vitamin D yang mencukupi, penyakit seperti osteoporosis boleh menyerang anda di kemudian hari.
Selain itu, vitamin D yang cukup juga dapat merendahkan risiko seseorang untuk menghidap depresi.
3. Lebih fokus dan sabar
Menurut pakar, individu yang gemar menghabiskan masa dikelilingi dengan alam sekitar mempunyai keupayaan untuk fokus dengan lebih lama.
Menurut jurnal “British of Sports Medicine”, individu yang suka duduk di bawah pohon yang rendang dan menghabiskan masa di tepi sungai mempunyai keupayaan untuk fokus dalam jangka masa yang lebih panjang.
Memancing juga mengajar erti sabar kepada kaki pancing. Seseorang itu harus mengambil masa berjam-jam untuk umpannya dimakan ikan.
Sifat sabar ini akan mengajar si pemancing untuk lebih releks dan tidak berputus asa. Maka, kerana itulah nikmat paling besar bagi seorang pemancing adalah apabila umpannya mengena.
4. Bantu kurangkan stres
Kajian mendapati bahawa orang dewasa yang mempunyai hobi memancing kurang berisiko untuk mengalami stres atau depresi.
Mereka juga mempunyai mood yang lebih baik jika dibandingkan dengan individu lain yang tidak mempunyai hobi.
Aktiviti memancing yang membolehkan peminatnya untuk keluar menghirup udara segar sambil menghayati keindahan alam sekitar sudah pasti boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa lebih tenang dan bahagia.
Jika anda alami masalah tidur malam, cuba libatkan diri dengan aktiviti memancing. 40% orang dewasa mendapati mereka lebih tenang ketika berada di sekeliling air.
5. Luaskan kenalan dan eratkan ikatan kekeluargaan
Hobi memancing juga dapat membantu meluaskan kenalan dan mengeratkan ikatan kekeluargaan. Pasti seronok bukan jika sepanjang hari dikelilingi oleh orang yang mempunyai minat dan juga hobi yang sama.
Bukan sahaja dapat berkongsi pendapat malah, mungkin pada hujung sesi memancing nanti anda boleh jumpa kawan baru.
Tambahan lagi, ada di kalangan pemancing yang melakukan aktiviti ini sebagai aktiviti kekeluargaan.
Seorang ayah mungkin akan membawa anak lelakinya memancing pada waktu senggang. Ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara mereka.
6. Tingkatkan keyakinan diri
Kaki pancing selalunya gemar bertukar-tukar cerita antara satu sama lain. Mereka akan bercerita tentang pengalaman memancing yang lepas seperti ikan apa yang telah mereka tangkap atau tempat yang terbaik yang mereka pernah lawati.
Semua aktiviti ini boleh membantu para pemancing untuk meningkatkan keyakinan diri mereka. Hobi memancing juga boleh membantu mengasah skil komunikasi dalam berhubung dengan orang lain.
7. Tenangkan minda
Seperti hobi lain, hobi memancing amat membantu penggiatnya untuk lari sebentar dari dunia nyata dan hiruk-pikuk kota. Hobi ini adalah satu terapi minda dan menenangkan anda.
Setelah menghabiskan banyak masa terperangkap dalam pejabat dan hanya duduk di hadapan skrin komputer, pasti minda rasa lega ketika mendengar bunyi jeram di sungai.
Kepala juga terasa lebih ringan ditiup angin sejuk persekitaran. Pasti badan yang rasa lelah terus jadi bersemangat ketika memancing.
Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]