Cantiknya si laga

Cantiknya si laga

Ikan laga bukan hanya mudah dijaga tetapi boleh membuatkan kita leka bila memandangnya.

Memandang ikan di akuarium boleh membantu seseorang itu menjadi lebih rileks dan mengurangkan rasa gelisah serta stres.
KUALA LUMPUR:
Pandemik Covid-19 memberikan impak yang sangat besar kepada semua masyarakat tidak kira usia dan kaum di seluruh dunia. Di saat kita sama-sama memerangi virus ini, kebosanan pasti muncul apatah lagi terpaksa berkurung di rumah.

Menurut pakar kesihatan jiwa Dr Mathew White, mengatakan memandang ikan di akuarium boleh membantu seseorang itu menjadi lebih rileks dan mengurangkan rasa gelisah serta stres.

Jika begitu, apa kata anda mula pelihara ikan laga. Bukan hanya ia mudah dijaga tetapi ikan laga yang mempunyai pelbagai jenis spesis ini juga sangat cantik dan boleh membuatkan kita leka bila memandangnya.

Ikan yang juga dikenali dengan nama “betta fish” ini memiliki warna yang beragam, bergantung dari kombinasi warna ikan induknya.

Berikut adalah antara spesis ikan laga sebagai rujukan anda.

Ikan laga “halfmoon”

Ikan lada jenis halfmoon mempunyai pelbagai warna. Ciri khas yang membezakan ia dengan ikan laga lain ialah bentuk siripnya. Sirip ikan ini berbentuk lebar seperti bulan sabit mungkin kerana itu ia dipanggil halfmoon” dan menjadi kegemaran ramai.

Ikan laga “double tail”

Ia mempunyai ekor yang terbelah dua. Perbezaan warna yang terdapat pada ekornya menjadikanya sangat digemari. Bukan hanya sirip yang cantik malah, ciri dan warnanya menjadikan ia memiliki harga yang cukup tinggi di pasaran.

Ikan laga “big ear”

Ia juga dikenali dengan nama ”elephant ear”. Dinamakan dengan nama begitu kerana ia memiliki sirip di kiri dan kanan yang lebar sehingga tampak seperti telinga gajah. Harga ikan ini bergantung kepada warna dan keunikannya.

Ikan laga “avatar”

Ikan laga ini merupakan primadona di antara jenis ikan laga yang lain. Ini kerana, ikan laga avatar memiliki corak warna yang bervariasi dan menarik. Maka, tidak hairanlah ikan laga avatar menduduki tempat tertinggi di mata pecinta ikan laga.

Ikan laga “plakat”

Jenis ini merupakan yang biasa dijual di pasaran. Ikan laga plakat mempunyai ciri-ciri sirip atas yang pendek dan sirip bawah memanjang serta ekornya pendek. Jenis plakat yang menjadi pilihan ialah ikan laga “red dragon” kerana warnanya yang merah pekat dan kelihatan garang.

Ikan laga matahari atau “crowntail”

Ikan laga ini memang jelas terlihat pada ekornya. Gelaran crowtail adalah kerana ekornya berbentuk seperti mahkota. Masyarakat melayu menggelarnya ikan laga matahari kerana ekornya seakan sinaran cahaya matahari.

Ikan laga “veiltail”

Ikan laga ini mempunyai ekor yang memanjang seperti langsir dan ia mudah dikenali dan dibezakan.

Ikan laga bunga atau “rosetail”

Ekornya berbentuk bunga dan beralun. Ia juga begitu cantik seakan-akan sekuntum bunga.

Ikan laga “spadetail”

Ikan laga ini mempunyai ekor yang bermuncung tajam berbentuk seperti penyodok.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.