Kerajaan patut kekal keputusan PH, bukan ‘undur belakang’ tambah cabutan nombor ekor, kata Nik Abduh

Kerajaan patut kekal keputusan PH, bukan ‘undur belakang’ tambah cabutan nombor ekor, kata Nik Abduh

Kenyataan Nik Abduh dibuat pada hari sama sayap veteran parti itu mengingatkan pemimpin PAS dalam kerajaan tidak leka menegakkan prinsip perjuangan parti dan syiar Islam.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian pimpinan PAS selepas kerajaan melalui Kementerian Kewangan meluluskan cabutan khas daripada lapan kali setahun sebelum ini kepada 22 kali untuk semua agensi nombor ramalan.
PETALING JAYA:
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz memuji Pakatan Harapan (PH) kerana mengurangkan cabutan khas nombor ramalan kepada lapan kali ketika memerintah dan menyifatkan kerajaan hari ini “undur ke belakang” apabila menaikkan semula jumlah itu kepada 22 untuk tahun ini.

“Tindakan terdahulu kerajaan PH yang telah mengurangkan jumlahnya sebelum ini adalah betul dan amat wajar diberi pujian dan kredit.

“Sewajarnya kerajaan hari ini mengekalkan keputusan tersebut…(tetapi) membenarkannya semula (kepada 22) adalah satu tindakan undur ke belakang yang pastinya ditolak oleh agama dan majoriti besar rakyat,” katanya di Facebook.

Kenyataan Nik Abduh dibuat pada hari sama Ketua Sidang Assabiqun (veteran) PAS Pusat Mahfodz Mohamed menegaskan menteri PAS perlu sedar, walaupun berada dalam kerajaan, prinsip perjuangan parti dalam menegakkan syiar Islam tidak harus diketepikan.

“Walaupun bersama dalam kerajaan kita ada prinsip, tahu tentang halal dan haram, maka menteri PAS pun kena lantang bersuara. Pegang portfolio (Menteri Agama) pun pemimpin tertinggi PAS, jadi kita perlu bersuara, jangan anggap kita sebagai minoriti dalam kerajaan kita tak boleh bersuara,” katanya.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) manakala timbalan beliau adalah pemimpin sayap Pemuda parti itu, Ahmad Marzuk Shaary.

Nik Abduh menzahirkan komitmen PAS “untuk menghapuskan semua industri dosa dan aktiviti ekonomi gelap dalam negara yang dikatakan berjumlah ratusan bilion setahun”, namun tidak memerincikan bagaimana ia akan dilakukan.

“Saya yakin pembaharuan politik negara yang kita idamkan bersama akan turut menyokong usaha membersihkan negara daripada aktiviti tidak sihat dalam semua sektor,” katanya.

Beliau menggesa Kementerian Kewangan menarik balik keputusan berhubung kelulusan cabutan khas judi itu.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian pimpinan PAS selepas kerajaan melalui Kementerian Kewangan meluluskan cabutan khas daripada lapan kali setahun sebelum ini, kepada 22 kali untuk semua agensi nombor ramalan.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada Mahfuz di Dewan Rakyat mengesahkan pertambahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.