Logo, warna baharu PN elak penyokong keliru dengan BN, kata Tuan Ibrahim

Logo, warna baharu PN elak penyokong keliru dengan BN, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS berkata perkara itu telah dibincangkan pimpinan tertinggi gabungan selepas PRN Melaka dan Johor apabila mendapati ada sebahagian penyokong keliru antara warna PN dan BN.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata PAS mengambil serius mengenai cadangan pengenalan logo dan warna baharu PN, namun keputusan tertakluk kepada kepimpinan parti.
KOTA BHARU:
Cadangan Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan logo dan warna baharu gabungan parti itu untuk digunakan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bertujuan mengelak kekeliruan penyokongnya dengan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu telah dibincangkan pimpinan tertinggi gabungan berkenaan selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila mendapati ada sebahagian penyokong mereka keliru antara warna PN dan BN.

“Disebabkan perkara itu, pimpinan PN akan mengkaji keperluan (menukar) warna yang berbeza dengan BN serta parti lain untuk PRU akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian di Pasir Tumboh.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengenai cadangan PN untuk memperkenalkan logo baharu pada PRU15.

Katanya, parti itu mengambil serius mengenai cadangan pengenalan logo dan warna baharu PN, namun keputusan tertakluk kepada kepimpinan parti nanti.

“PAS ini pengalaman banyak, dahulu kita juga pernah guna lambang BN, dulu kita ada pelbagai logo seperti lambang bulan dan bintang serta tangan, bagi ahli parti ia tiada masalah kerana sentiasa mendukung keputusan parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.