3 tempat popular di Perak

3 tempat popular di Perak

Untuk mereka yang “kaki jalan”, berikut adalah tempat menarik yang mesti anda kunjungi jika berada di Perak.

Menara condong yang merupakan tarikan utama perlancongan di Teluk Intan.

Perak, satu ketika dahulu kaya dengan bijih timah. Hari ini, ianya terkenal dengan pelbagai tempat bersejarah dan kaya dengan tempat-tempat menarik yang harus dikunjungi. Jika anda ke Perak, jangan lepaskan peluang mengunjungi tiga tempat berikut.

1. Menara Condong Teluk Intan

Siapa yang tidak kenal dengan menara popular ini. Sering dibandingkan dengan Menara Pisa, Itali, ia merupakan salah satu tarikan utama perlancongan di Perak. Menara ini agak unik kerana rekaan bumbungnya seakan bentuk pagoda serta gaya bangunan tradisionalnya. Tentu sekali kedudukannya yang senget menarik perhatian ramai.

Menara ini dibina pada tahun 1885, berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk sekitar selain fungsinya sebagai menara jam. Bagaimana ia boleh menjadi condong? Menurut cerita, terjadi banjir besar di Teluk Intan pada satu ketika dahulu dan menara yang terletak bersebelahan dengan sungai ini turut dibanjiri menyebabkan asas kedudukannya dari tanah gambut menjadi lembut dan mendap. Maka kerana itulah ia menjadi condong.

2. Atuk Kopi

(Kiri) Atuk Kopi terletak di tingkat bawah See Foo Hotel. (Kanan) Atuk Kopi yang popular di Bidor. 

Apa yang menarik tentang Atuk Kopi di Jalan Persatuan, Bidor adalah kerana keenakan kopinya. Jika kebanyakan kedai kopi menyediakan kopi mereka dengan cara tradisional, tetapi di sini mereka menggunakan mesin yang sering didapati di kedai kopi ala-Barat. Ia punya rasa tersendiri dan cukup sedap bagi penggemar kopi. Pilihan ramai tentulah Kopi O dan memang berbaloi untuk singgah di sini, rasailah sendiri aroma dan kekuatan kopi O.

Untuk ke Atuk Kopi, anda boleh mengikuti Lebuh raya Utara Selatan ke Bidor.

3. Nasi Bamboo Sungai Klah

Nasi dimasak dalam buluh.

Tempat ini memang popular di kalangan para ‘bikers’ yang menggunakan Lebuh raya Utara Selatan. Nasi Bamboo Sungai Klah, di Kampung Buloh Telur, Sungkai, ini popular dengan nasi yang dimasak dalam buluh. Aroma dan kelembutan nasi menjadikan ia kegemaran pelanggan yang datang ke sini. Terdapat pelbagai pilihan yang boleh dipilih seperti nasi biasa atau nasi bersama serunding serta pelbagai lauk pauk yang menyelerakan.

Jika ke sini memang tidak sah kalau tidak makan nasi dari buluhnya yang sememangnya enak bila dimakan bersama lauk-pauk seperti gulai kawah, ayam kampung goreng, daging masak hitam dan ulam-ulaman.

Nasi serunding popular di Sungai Klah.

Anda boleh rasai sendiri pengalaman unik berada di sini.

Khai dan isterinya Amira adalah “travel blogger” Malaysian dengan blog Kaki Jalans.

Perjalanan percutian mereka telah membawa mereka ke serata negara di Asia dan lima negara di Eropah. Mereka masih lagi aktif berkembara.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.