
Memanglah seronok apabila berat badan turun mendadak ekoran diet ketat. Tetapi tahukah anda ia juga mempunyai banyak kesan sampingan yang rata-rata tidak baik?
Walaupun kita mensasarkan penurunan berat badan, usah melakukannya secara ekstrem sebaliknya lakukan secara berperingkat dan pastikan dalam aturan yang sihat.
Di bawah adalah antara kesan daripada penurunan berat badan secara mendadak.
1. Kadar metabolisme menurun
Apabila kita mengurangkan jumlah pengambilan makanan, ia memberi kesan kepada berat badan. Dalam masa sama, ia juga menurunkan kadar metabolisme tubuh. Ini menyebabkan kalori dalam tubuh dibakar secara lebih perlahan kerana tubuh beranggapan kita kelaparan. Jika amalan ini berlanjutan, ia boleh membahayakan khususnya selepas kita tidak lagi mengamalkan diet atau kembali kepada pola pemakanan asal.
Tubuh tidak lagi membakar kalori secepat sebelum ini dan penurunan berat badan menjadi lebih sukar. Malah, seseorang juga mudah mengalami peningkatan berat badan selepas diet.
2. Kehilangan otot
Kalau anda pernah membina otot, diet ketat kalori bukan sahaja menurunkan berat badan sebaliknya turut memberi kesan kepada otot. Ini kerana penurunan berat badan tidak semestinya membabitkan kehilangan, cuma jisim otot yang hilang. Kajian yang diterbitkan oleh jurnal Obesity Society pada tahun 2016, menunjukkan mereka yang mengamalkan diet kalori sangat rendah berisiko 6 kali kehilangan otot. Kesan sampingan kehilangan jisim otot berpunca daripada penurunan metabolisme tubuh. Semakin kecil jisim otot, lebih perlahan metabolisme maka kurang kalori akan dibakar oleh badan. Bagaimanapun keadaan ini hanya berlaku apabila kita mengurangkan makanan, tetapi tidak disertai dengan senaman.
3. Kekurangan nutrisi
Kita semua akur, apabila makanan kurang diambil, secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada jumlah pengambilan nutrisi. Diet rendah kalori biasanya menyebabkan seseorang kurang kekurangan zat besi, folat, kalsium, dan vitamin B12. Ini boleh menjejaskan kesihatan badan dalam jangka panjang. Malnutrisi menyebabkan kita mengalami keletihan yang melampau, anemia, mudah sakit kerana sistem kekebalan tubuh lemah, kekejangan otot yang kerap, hingga kehilangan rambut yang teruk.
4. Kulit kendur
Penurunan berat badan secara drastik menjadikan kulit kelihatan longgar dan kendur, terutamanya di bahagian perut, lengan, dan kaki. Ini kerana kulit hilang keanjalan selepas diregangkan dengan kehadiran lemak. Walaupun ia tidak tidak menyebabkan kesan kesihatan dalam jangka masa panjang, tetapi boleh memberi kesan kepada penampilan fizikal.
5. Batu karang
Batu karang adalah salah satu komplikasi berat badan yang paling genting dalam masa yang singkat. Pada waktu ini, pundi hempedu mengeluarkan enzim pencernaan untuk memecah makanan berlemak supaya ia boleh dicerna. Tetapi sewaktu diet ketat, kita pasti akan menghadkan bahagian makanan berlemak. Maka, apabila badan tidak mendapat pengambilan lemak yang mencukupi, pundi hempedu berhenti menghasilkan enzim dan ia menyebabkan garam hempedu menurun. Sementara itu, proses pemecahan lemak semasa diet yang ketat menjadikan hati melepaskan sejumlah besar kolesterol dalam hempedu, sehingga is menjadi tepu. Batu karang akan terbentuk apabila bahan-bahan dalam enzim pencernaan secara beransur-ansur menjadi kristal.