
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed al-Ansari berkata kepada pemberita di Doha bahawa wakil Turki dijadual menyertai mesyuarat pasukan pengantaraan Gaza pada hari yang sama, manakala pegawai Hamas sedang meneliti pelan dikemukakan Presiden AS Donald Trump.
“Turki kini menjadi sebahagian daripada inisiatif AS,” kata al-Ansari.
Beliau berkata, pegawai Hamas telah menerima pelan penuh AS lewat malam Isnin dan berjanji menelitinya secara bertanggungjawab.
Pada Isnin, Trump berkata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah bersetuju dengan pelan damai Gaza 20 perkara yang baharu dicadangkannya. Trump menambah bahawa jika Hamas menerima cadangan itu, ia akan memerlukan pembebasan semua baki tebusan dalam tempoh 72 jam dan menggesa kumpulan itu menerima syarat berkenaan.
Qatar merupakan pengantara utama dalam konflik Gaza, bekerjasama dengan Mesir, AS dan pemain serantau lain untuk menggesa gencatan senjata, akses kemanusiaan, dan penyelesaian politik jangka panjang.