
“Eropah meningkatkan tekanannya,” kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.
“Ekonomi perang Rusia disokong oleh hasil daripada bahan api fosil. Kami mahu memotong hasil ini,” katanya.
“Kami melarang import tenaga Rusia ke pasaran Eropah. Sudah tiba masanya untuk menutup paip.”
Kesatuan Eropah sudah bersedia untuk larangan itu dengan usaha untuk menjimatkan tenaga, mempelbagai bekalan, dan pelaburan dalam sumber tenaga rendah karbon, kata presiden suruhanjaya itu.
Pengumuman pada Jumaat itu dibuat beberapa hari selepas von der Leyen berkata, beliau berhasrat mencapai penghentian import bahan api fosil Eropah dari Rusia dengan lebih cepat selepas perbualan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Sejak pencerobohan besar-besaran Rusia ke atas Ukraine pada 2022, EU mengenakan sekatan import yang meluas ke atas arang batu dan minyak Rusia, namun, tiada sekatan gas dikenakan setakat ini.
Menurut angka EU, blok itu mengimport LNG dari Rusia bernilai hampir €4.5 bilion (USD5.3 bilion) pada separuh pertama 2025. Tahun lalu, penghantaran gas Moscow masih menyumbang kira-kira seperlima daripada semua import gas. Lebih separuh daripada import ini datang dalam bentuk LNG.
Cadangan untuk pakej sekatan baharu itu juga termasuk langkah hukuman lanjut dalam sektor kewangan dan sekatan perdagangan tambahan, kata von der Leyen.
Dua puluh tujuh negara anggota blok itu perlu menyokong pakej baharu itu sebulat suara sebelum ia boleh berkuat kuasa.