
Menurut laporan itu, tindakan Israel di wilayah diduduki itu ‘merupakan pelanggaran serius dan berulang terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa’.
“Tindakan ini bukan sahaja membahayakan nyawa dan maruah penduduk Palestin, tetapi juga asas kepada tatanan antarabangsa. Sebagai anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab, Slovenia tidak boleh dan tidak sepatutnya menjadi sebahagian rantaian membolehkan atau menutup mata terhadap amalan sedemikian,” menurut kenyataan itu.
Langkah itu merupakan tindak balas langsung terhadap dasar Israel, yang menurut Slovenia menjejaskan prospek keamanan berkekalan dan penyelesaian dua negara.
Slovenia Times menyifatkan larangan import itu sebagai ‘lebih bersifat simbolik’ kerana data rasmi menunjukkan import dari wilayah yang diduduki hanya berjumlah €30,000 pada 2024, kebanyakannya avokado.
Sementara itu, Menteri Luar Tanja Fajon mengakui sifat simbolik larangan itu namun menyatakan ia adalah ‘tindak balas wajar’ yang menghantar mesej jelas kepada Israel dan masyarakat antarabangsa bahawa pelanggaran undang-undang antarabangsa mempunyai akibatnya.
Beliau berkata, langkah itu meletakkan Slovenia dalam kalangan negara yang berprinsip, bertanggungjawab dan berani, serta memenuhi janji kerajaan untuk mengambil langkah selanjutnya terhadap Israel.
Beberapa kementerian telah diarahkan meneliti kemungkinan melarang eksport ke penempatan haram Israel.