
Beliau berkata, meskipun negara dijamin mempunyai bekalan petroleum mencukupi bagi beberapa bulan mendatang, cabaran seperti kekurangan diesel dan isu bekalan baja mampu memberi tekanan kepada ekonomi domestik.
“Saya menyeru komitmen yang lebih kukuh untuk memperkasakan daya tahan bagi menghadapi kemungkinan kemerosotan ekonomi ini, susulan kos yang semakin meningkat serta kemungkinan kekurangan bekalan.
“Kita (Malaysia) bernasib baik kerana untuk beberapa bulan akan datang kita mempunyai jaminan bekalan petroleum mencukupi, namun kita mungkin akan berdepan lebih banyak cabaran berkaitan bekalan diesel dan baja,” katanya menurut Bernama.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 11 bertemakan Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di Putrajaya.
Perdana menteri berkata , kekuatan Malaysia terletak pada perpaduannya sebagai sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama, yang menjadi asas penting dalam berdepan dengan ketidaktentuan global.
“Kita berbangga untuk menyatakan, Alhamdulillah, di negara berbilang kaum dan berbilang agama seperti Malaysia, wujud semangat perpaduan serta iltizam untuk mempertahankan negara serta berganding bahu dalam menyelesaikan cabaran.
“Saya tidak percaya ada masalah yang tidak mampu diatasi. Apa yang kita perlukan ialah iltizam dan membina daya tahan yang kukuh dalam kalangan rakyat kita,” katanya yang juga menteri kewangan.
Mengenai perkembangan global, Anwar menekankan landskap geopolitik yang semakin kompleks, terutamanya konflik berlarutan di Asia Barat yang menurut beliau membawa implikasi politik dan ekonomi meluas.
Beliau turut mengecam pencerobohan berterusan Israel yang disokong oleh Amerika Syarikat, dengan menyifatkan tindakan berkenaan sebagai punca kepada peningkatan krisis kemanusiaan dan serantau, termasuk di Gaza, Lubnan serta kawasan lain.
“Penderitaan di Gaza dan perjuangan Palestin tidak boleh sama sekali dilupakan atau diabaikan. Dunia sedang menyaksikan kekejaman pada tahap yang sukar dibayangkan,” kata beliau.
Anwar berkata, dasar luar Malaysia kekal konsisten dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan, termasuk dalam menangani konflik di Myanmar dan rantau lain, sekali gus menekankan keperluan kepada penglibatan antarabangsa yang koheren dan berprinsip.