China adakan rundingan tak rasmi dengan Kemboja, Thailand

China adakan rundingan tak rasmi dengan Kemboja, Thailand

China umum rundingan tak rasmi untuk dorong gencatan senjata dan mengekalkan komunikasi rapat dengan Malaysia.

Beijing adakan rundingan tak rasmi dengan Kemboja dan Thailand bagi mendorong gencatan senjata antara kedua negara itu. (Gambar EPA Images)
BEIJING:
Rundingan tidak rasmi antara China, Kemboja dan Thailand diadakan di Shanghai pada Rabu sebagai usaha mendorong pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, serta membina syarat baik bagi pemulihan kedamaian dan kestabilan di kawasan sempadan.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, pada sidang media di Beijing berkata, China menyokong Asean dalam memainkan peranannya, mengekalkan komunikasi rapat dengan Malaysia selaku negara pengerusi Asean, dan menghantar wakil ke mesyuarat khas Kemboja-Thailand di Kuala Lumpur.

Memandangkan situasi gencatan senjata yang genting pada ketika ini, Naib Menteri Luar China Sun Weidong mengadakan rundingan tidak rasmi dengan wakil dari Kemboja dan Thailand di Shanghai pada pagi Rabu.

Wakil Kemboja dan Thailand menyatakan komitmen untuk mematuhi persepakatan gencatan senjata, di samping menzahirkan penghargaan atas peranan China dalam meredakan ketegangan.

Guo Jiakun menekankan China tidak mempunyai kepentingan sendiri dalam hal ini, sebaliknya menyokong usaha Asean ke arah mendorong penyelesaian pertikaian antara Kemboja dengan Thailand secara politik melalui pendekatan serantau.

China bersedia mengekalkan komunikasi rapat dengan Kemboja, Thailand dan Malaysia, serta terus memainkan peranan konstruktif untuk mempromosikan gencatan senjata demi pemulihan semula keamanan dan kestabilan di kawasan terbabit, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.