
Ini susulan janji Parti Labour ketika kempen pilihan raya tahun lalu, dan menjadi antara perubahan yang dirancang dalam sistem demokrasi negara itu yang didakwa segelintir pihak sebagai “dalam krisis”.
Perubahan usia mengundi itu berkemungkinan mencetuskan kontroversi, dengan pengkritik mendakwa ia demi kepentingan Parti Labour memandangkan golongan berkenaan lebih cenderung menyokong mereka.
“Saya rasa penting untuk golongan berusia 16 dan 17 tahun dibenarkan mengundi kerana mereka cukup matang untuk keluar bekerja dan membayar cukai, dan memasukkan wang dalam akaun bank,” kata Perdana Menteri Keir Starmer.
“Pada saya, jika boleh memasukkan wang dalam akaun bank, ini bererti anda patut diberi peluang mengatakan bagaimana wang anda patut dibelanjakan dan arah tuju kerajaan.”
Kerajaan perlu membentangkan cadangan itu ke Parlimen untuk membuat perubahan berkenaan.
Hanya segelintir negara membenarkan remaja berusia 16 tahun mengundi dalam pilihan raya umum. Antaranya termasuk Austria, iaitu negara Kesatuan Eropah pertama yang memperkenalkan perkara itu pada 2007, selain Argentina, Brazil, Ecuador dan Cuba.
Menteri dari Parti Labour menegaskan perubahan itu bagi “memodenkan demokrasi” dan meningkatkan peratusan yang keluar mengundi.
Antara perubahan lain yang dirancang termasuk pendaftaran pengundi secara automatik seperti dilakukan di Australia dan Kanada, selain membenarkan kad bank dikeluarkan di UK sebagai dokumen pengenalan diri sah di stesen pengundian.