Suspek kes tembak 2 wakil rakyat di Minnesota ditahan

Suspek kes tembak 2 wakil rakyat di Minnesota ditahan

Bekas speaker Dewan Perwakilan, Melissa Hortman dan suaminya maut dengan Senator Demokrat John Hoffman dan isterinya cedera.

Vance Boelter, 57, ditahan pihak berkuasa selepas operasi dilancarkan di seluruh negara hampir dua hari. (Gambar EPA Images)
HOUSTON:
Polis di Minnesota menahan suspek disyaki menembak dua penggubal undang-undang dan pasangan mereka, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.

Vance Boelter, 57, ditahan pihak berkuasa selepas operasi dilancarkan untuk memburu suspek di seluruh negara selama hampir dua hari susulan kejadian tembakan pada awal pagi Sabtu.

Dia didakwa membunuh bekas speaker Dewan Perwakilan daripada Parti Demokrat, Melissa Hortman dan suaminya, Mark serta menembak dan mencederakan Senator Demokrat John Hoffman dan isterinya, Yvette.

“Pasukan petugas pelbagai agensi termasuk Peronda Negeri Minnesota menahan Boelter,” menurut hantaran wartawan KSTP-TV, Tom Hauser di platform X. “Dia ditahan berhampiran Green Isle, lokasi tumpuan operasi hari ini.”

Menurut siasatan, Boelter menyamar pegawai polis ketika menembak mati Hortman dan suaminya di rumah mereka di Brooklyn Park. Dia kemudian pergi ke Champlin sejauh 14.5km dan menembak Hoffman serta isterinya di rumah mereka.

“John sedang menjalani beberapa pembedahan dan semakin stabil dari semasa ke semasa,” tulis Yvette dalam mesej yang dikongsi Senator Amerika Syarikat Amy Klobuchar di X. “Beliau terkena sembilan das tembakan. Saya pula lapan. Kami sangat bernasib baik masih hidup.”

“Kami benar-benar hancur dan amat sedih dengan kehilangan Melissa dan Mark,” katanya lagi. “Kami kehilangan kata-kata. Kebencian seperti ini tidak sepatutnya wujud.”

Pihak berkuasa memaklumkan mereka telah menemu bual isteri Boelter dan ahli keluarganya berkaitan kes tembakan itu, namun tiada daripada mereka yang ditahan. Semua ahli keluarga dikatakan memberi kerjasama penuh kepada siasatan.

Motif kejadian masih belum dikenal pasti, namun penyiasat berkata mereka menemukan senarai kira-kira 70 nama dalam beberapa tulisan yang diambil daripada kenderaan polis palsu yang ditinggalkan Boelter di lokasi kejadian.

Senarai itu mengandungi nama-nama tokoh terkenal peringkat negeri dan persekutuan serta pemimpin masyarakat, manakala bahan bacaan turut ditemui mengandungi maklumat mengenai penyokong hak pengguguran dan kemudahan penjagaan kesihatan.

Boelter merupakan bekas pegawai lantikan politik yang pernah berkhidmat dalam lembaga pembangunan tenaga kerja negeri yang sama dengan Hoffman, menurut rekod.

Siasatan juga mendapati Boelter telah menghantar mesej kepada rakan-rakan untuk memohon maaf atas tindakannya selepas kejadian, namun tidak menyatakan apa yang telah dilakukannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.