Menteri Jepun letak jawatan akibat kenyataan kontroversi berkait beras

Menteri Jepun letak jawatan akibat kenyataan kontroversi berkait beras

Taku Eto dilaporkan berkata beliau tidak membeli beras kerana menerima begitu banyak bekalan daripada penyokong sehingga boleh menjualnya.

taku eto
Taku Eto memohon maaf kepada rakyat atas kenyataan amat tidak wajar sebagai menteri pertanian ketika mereka bergelut dengan kenaikan mendadak harga beras. (Gambar EPA Images)
TOKYO:
Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto meletak jawatan pada Rabu susulan tindak balas berhubung kenyataannya tidak membeli beras kerana menerima bekalan banyak daripada penyokongnya.

Ini sekali gus memberi tamparan kepada Perdana Menteri, Shigeru Ishiba yang popularitinya sudah pun terjejas akibat isu kos sara hidup, khasnya kenaikan harga beras.

Kyodo News memetik sumber kerajaan berkata, Ishiba dijangka melantik Shinjiro Koizumi, 44, menggantikan Eto – bekas menteri alam sekitar yang popular dan pernah bertanding pemilihan presiden Parti Demokratik Liberal (LDP) tahun lalu.

Selepas menerima peletakan jawatan Eto, Ishiba mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas pemilihannya dan membiarkannya terus memegang jawatan walaupun berdepan bantahan berhubung kenyataan kontroversi itu.

“Saya akan terima semua kritikan,” kata Ishiba.

Eto, 64, menyerahkan surat peletakan jawatan di Pejabat Perdana Menteri beberapa jam sebelum Ishiba dijadualkan berdepan pemimpin pembangkang di Parlimen – yang sebulat suara mendesak beliau meletak jawatan.

Skandal terbaharu itu berlaku ketika Ishiba bersiap sedia menghadapi pilihan raya Dewan Kaunselor pada musim panas ini – pemilihan yang mesti dimenangi gabungan pemerintah selepas hilang penguasaan ke atas Dewan Perwakilan tahun lalu.

Eto anggota Kabinet pertama bawah pentadbiran Ishiba yang meletak jawatan bukan kerana kehilangan kerusi Parlimen pada PRU Oktober lalu.

“Saya bertanya diri sama ada wajar untuk kekal menerajui kementerian pada waktu kritikal harga beras dan saya membuat kesimpulan ia tidak wajar,” katanya selepas menyerahkan surat peletakan jawatan.

“Sekali lagi, saya memohon maaf kepada rakyat atas kenyataan saya yang amat tidak wajar sebagai menteri, pada waktu mereka bergelut dengan kenaikan mendadak harga beras.”

Kenyataan Eto menyusul tidak lama selepas Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan memutuskan untuk mengeluarkan simpanan stok kecemasan beras sehingga Julai bagi menurunkan harga beras yang meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Eto dikenali antara pakar utama dasar pertanian dalam parti pemerintah dan pernah dilantik menteri pertanian selama setahun bermula 2019 bawah pimpinan bekas perdana menteri, Shinzo Abe.

Tinjauan pendapat menunjukkan kebanyakan rakyat tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani kenaikan harga beras yang diburukkan lagi oleh pertumbuhan gaji tidak seiring kadar inflasi.

“Saya tidak membeli beras. Terima kasih kepada penyokong saya yang memberikan begitu banyak beras, saya mempunyai begitu banyak beras di rumah sehingga saya boleh menjualnya,” kata Eto.

Beliau kemudian menjelaskan kenyataan itu bertujuan mencuit hati hadirin, namun “terlalu berlebihan” menyebabkan Ahli Parlimen pembangkang segera mempersoalkan kelayakannya untuk kekal sebagai menteri.

Selain parti pembangkang, kritikan turut meningkat dalam kalangan gabungan pemerintah dengan beberapa pemimpin kanan menganggap peletakan jawatannya tidak dapat dielakkan.

Koizumi, yang dijangka dilantik menteri pertanian baharu, pernah tewas kepada Ishiba dalam pemilihan presiden LDP, namun antara tokoh pilihan rakyat dalam tinjauan sebagai pemimpin masa depan Jepun.

Kontroversi itu berlaku ketika tinjauan pendapat Kyodo News menunjukkan kadar penilaian kelulusan Ishiba kini di tahap terendah sejak berkuasa Oktober lalu, sekali gus menggambarkan kegagalannya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat ekoran skandal pengumpulan dana politik LDP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.