Tokoh agama dikait cubaan rampasan kuasa Turki meninggal dunia

Tokoh agama dikait cubaan rampasan kuasa Turki meninggal dunia

Fethullah Gulen yang didakwa menjadi dalang cubaan rampasan kuasa pada 2016 itu meninggal dunia di Amerika Syarikat pada usia 83 tahun.

Fethullah Gulen
Turki menyalahkan Gulen dan pergerakannya atas percubaan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016 oleh sebahagian anggota tentera. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Fethullah Gulen, tokoh agama yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan didakwa sebagai dalang percubaan rampasan kuasa pada 2016 di Turki telah meninggal dunia, menurut sebuah yayasan di Jerman yang dikaitkan dengan pergerakannya. Beliau berusia 83 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengerusi ‘Dialogue and Education Foundation’ Ercan Karakoyun berkata Gulen meninggal dunia pada petang Ahad di sebuah hospital di negeri Pennsylvania, AS.

Yayasan itu adalah cawangan Jerman bagi pergerakan transnasional Gulen yang juga dikenali sebagai Hizmet. Ia mengendalikan sekolah, pusat tuisyen dan tadika di Jerman.

Turki menyalahkan Gulen dan pergerakannya atas percubaan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016 oleh sebahagian anggota tentera.

Kerajaan menganggap pergerakan itu sebagai organisasi pengganas dan telah menahan ribuan orang yang didakwa mempunyai kaitan dengannya dan Gulen.

Bertahun-tahun selepas cubaan rampasan kuasa yang gagal itu, pihak berkuasa terus menyasarkan individu yang disyaki mempunyai hubungan dengan Gulen, bekas sekutu yang kini menjadi seteru Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.