15 anggota IS maut diserang tentera AS, Iraq

15 anggota IS maut diserang tentera AS, Iraq

Centcom berkata, anggota IS itu 'dilengkapi pelbagai senjata, bom tangan dan tali pinggang bahan letupan'.

AS mempunyai kira-kira 2,500 anggota tentera di Iraq sebagai sebahagian gabungan antarabangsa menentang IS. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Seramai 15 anggota IS maut dalam serangan bersama dilancarkan tentera Iraq dan Amerika Syarikat (AS) di barat Iraq, kata Markas Pemerintahan Pusat AS (Centcom) pada Jumaat.

Serangan pada awal pagi Khamis itu yang menyasarkan pemimpin IS menyebabkan “15 anggota IS maut tanpa tanda-tanda kematian orang awam”, kata Centcom di platform media sosial X.

Menurutnya, anggota IS itu “dilengkapi pelbagai senjata, bom tangan dan tali pinggang bahan letupan”, dengan tentera Iraq terus memeriksa lokasi diserbu di “barat Iraq”.

“IS kekal ancaman kepada rantau ini, sekutu kami serta tanah air kita. Centcom bersama gabungan kami dan rakan kongsi Iraq akan terus memburu militan ini secara agresif.”

Serangan itu dilancarkan ketika Baghdad dan Washington mengadakan perbincangan selama berbulan-bulan mengenai kehadiran pasukan gabungan di Iraq.

Walaupun Iraq menyuarakan matlamat penarikan balik penuh anggota tentera AS, tiada tempoh diumumkan.

AS menempatkan kira-kira 2,500 anggota tentera di Iraq dan 900 lagi di Syria sebagai sebahagian gabungan antarabangsa menentang kumpulan IS.

Pasukan gabungan itu menjadi sasaran dron dan roket di Iraq serta Syria, ketika keganasan berkaitan perang Israel-Hamas di Gaza sejak awal Oktober lalu menarik kumpulan bersenjata disokong Iran di seluruh Timur Tengah.

Musim sejuk lalu, Islamic Resistance of Iraq yang disokong Iran mendakwa kira-kira 175 serangan roket dan dron dilancarkan ke atas tentera AS di Iraq serta Syria.

Tentera AS melakukan beberapa serangan balas terhadap puak militan ini di kedua-dua negara.

Serangan pada Khamis berlaku kurang seminggu selepas tentera AS membunuh seorang pemimpin kanan kumpulan militan bersekutu dengan Al-Qaeda di Syria.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.