Singapura masih buru Jho Low dalam kes 1MDB

Singapura masih buru Jho Low dalam kes 1MDB

Notis Merah Interpol untuk menahan Jho Low masih berkuat kuasa di republik itu.

jho low
Jho Low berulang kali menyatakan dirinya tidak bersalah. (Gambar fail)
SINGAPURA:
Pihak berkuasa Singapura berkata, ia masih memburu pelarian dari Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung skandal berbilion dolar 1MDB.

Perjanjian dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Jun untuk menyelesaikan tindakan sivil terhadap Jho Low dan keluarganya tiada kaitan dengan siasatan jenayah Singapura, kata pasukan polis negara itu dalam kenyataan.

Menurutnya, Notis Merah Interpol untuk mendapatkan lokasi dan penahanan sementara Jho Low masih berkuat kuasa.

Singapura melakukan pendakwaan tanpa kehadiran ke atas Jho Low dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya pada 2016.

Lelaki itu berulang kali menyatakan dirinya tidak bersalah.

Malaysia berusaha mendapatkan semula lebih USD4.5 bilion yang didakwa hilang daripada dana negara itu.

Kes itu turut membabitkan Goldman Sachs Group Inc dan Hollywood.

Ia mencetuskan pergolakan politik di Malaysia, dengan bekas perdana menteri, Najib Razak kalah dalam PRU 2018 dan dipenjarakan pada 2022 atas peranannya dalam skandal itu.

Pihak berkuasa Singapura sudah mendapatkan perintah mahkamah untuk memulangkan kira-kira SGD103 juta (USD76.6 juta) berkaitan 1MDB yang dirampas kepada kerajaan Malaysia, menurut kenyataan itu.

Kira-kira SGD164 juta aset berkaitan 1MDB di Singapura yang dirampas masih dilarang daripada dilupuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.